Ramadan dan Aidilfitri lebih tenang, tiada lagi ‘pesta’

No Image Caption
A
A
A

Golongan peniaga makanan dan minuman yang sudah puluhan tahun berniaga di bahu jalan, pasar tani dan tempat tumpuan awam apabila diminta untuk menghentikan operasi perniagaan, sudah pasti berasa tidak selesa, gelisah dan seperti kehilangan sesuatu.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan diperkenalkan rezeki mereka seperti telah dirampas, mereka seolah-olah sudah kehilangan segalanya. Ungkapan ‘duduk di rumah’ merupakan suatu penyeksaan amat berat buat golongan peniaga kecil ini.

Walaupun hanya sementara dan bagi tujuan kebaikan demi memutus rantaian penularan tetapi bagi mereka ia telah meragut segala-galanya, bayangkan mereka diminta untuk duduk di rumah selama 24 jam bagi suatu jangka masa lebih sebulan.

Mungkin sudah ada yang berhadapan dengan penyakit psikologi, terasa tertekan, ingin sahaja melanggar Perintah Kawalan Pergerakan kerana mahu keluar meniaga! Tidak sabar menanti bilakah ia akan berakhir tambahan Ramadan pula bakal menjelma.

Ini kerana, setiap tahun ketibaan Ramadan amatlah ditunggu, penjaja makanan ini menjadikan bazar Ramadan sebagai tempat mereka meraih keuntungan berganda seterusnya wang tersebut dapat disimpan untuk digunakan pada waktu tertentu.

Ramadan tahun ini bermula lebih kurang sepuluh hari selepas Perintah Kawalan Pergerakan berakhir. Selama sebulan kita dilarang bergerak untuk memutuskan rantaian wabak Covid-19, tentu tidak munasabah sepuluh hari berikutnya kita bebas.

Yang tamat adalah tempoh sekatan, namun penularan virus Covid-19 itu terus bergantung kepada kepatuhan masyarakat semasa perintah itu dikuatkuasakan. Sekalipun pada 14 April ini negara telah pulih darinya, saki baki virus tentu masih ada.

Oleh sebab itu, beberapa kerajaan negeri antaranya kerajaan Terengganu telah mengumumkan tidak ada bazar Ramadan di negeri itu tahun ini. Sementara Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa juga membayangkan keputusan serupa.

Artikel Berkaitan:

Negeri-negeri lain dijangka mengambil keputusan sama dan ia merupakan langkah tepat sekiranya semua negeri mengarahkan tidak ada bazar Ramadan malah pusat membeli belah menjual pakaian dan aksesori Aidilfitri lain wajar ditutup sementara.

Walaupun bazar Ramadan tempat golongan peniaga kecil menjana pendapatan tetapi ada dua perkara mesti diutamakan. Pertama, keselamatan dan kedua, mewujudkan satu budaya baru tidak mengaitkan Ramadan dengan pesta makanan.

Kerajaan tentu ada pertimbangan lain sebelum mengarahkan semua pusat membeli belah ditutup untuk menghalang penularan wabak Covid-19 kerana melihat tahun-tahun sebelum ini, pusat membeli belah penuh sesak sepanjang Ramadan.

Mungkin penularan wabak ini boleh membawa masyarakat Islam di Malaysia kembali ke pangkal jalan, mengerjakan puasa bulan Ramadan dengan ‘lebih tenang’ dan menyambut hari raya seadanya kerana Aidilfitri sememangnya bukanlah satu ‘pesta’.

Bertolak daripada kesedaran dalam menyambut Ramadan dan Aidilfitri pada tahun ini, maka pada tahun-tahun yang akan datang bazar Ramadan dan pusat membeli belah ini sudah tentunya akan dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.

Ini dengan sendirinya menjadikan bazar Ramadan dan pusat membeli belah bukan lagi sebagai tempat masyarakat berpesta, berbelanja seperti tidak ada hari esok buat mereka sebaliknya hanya akan menjadi tempat menyediakan keperluan semata-mata.

Juga jangan lepaskan peluang ini dengan memperbanyakkan amalan baik, beribadat dalam keadaan serba serbi yang sederhana di sepanjang Ramadan dan Syawal pada kali ini dan bersyukurlah kerana kita masih lagi bernyawa!

Sementara itu, dalam ketakutan rakyat berdepan virus Covid-19 masih ada yang terus mementingkan diri sendiri dan hanya memikirkan kehendak mereka sahaja dan bukannya mengenai menjaga keselamatan diri dan orang lain.

Ini berlaku di Kampung Dato Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid di Simpang Renggam ketika dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan apabila ada penduduk yang meminta rokok sebagai barang keperluan 'penting'.

China Press melaporkan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagaimanapun tidak dapat untuk memenuhi permintaan penduduk berkenaan kerana apa yang diminta bukanlah barang keperluan asas.

JKM Kluang sebaliknya meminta perokok yang berdepan “kekurangan stok” kerana tidak dapat membeli rokok dalam tempoh kawalan pergerakan supaya mengambil peluang untuk membuang tabiat merokok yang tidak sihat.

Jurucakap jabatan itu juga menafikan bahawa penduduk berdepan masalah kekurangan bekalan barangan keperluan harian apabila telah menghantar bekalan ke dua kampung yang kini ‘ditutup’ itu mengikut jumlah orang dalam keluarga.

Penduduk Kampung Dato Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid di Simpang Renggam itu sewajarnya bersyukur kepada ALLAH kerana bekalan makanan tidak putus dan bukannya bersyukur dengan cara menggosok perut kencang sambil menghisap rokok!

* Mohd Azlim Zainury ialah wartawan Sinar Harian Nasional

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!