Malaysia sertai kaji selidik uji ubat rawat Covid-19
PUTRAJAYA, - Kaji selidik Solidariti dilancarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan menyaksikan penglibatan Malaysia dalam usaha antarabangsa untuk menguji beberapa ubat dalam merawat koronavirus (Covid-19).
Kaji selidik diselaraskan WHO di seluruh dunia itu adalah satu usaha julung kali dilakukan bagi mengumpul data boleh dipercayai dan membandingkan keselamatan serta keberkesanan empat protokol rawatan menggunakan kombinasi Remdesivir, Lopinavir/Ritonavir, Interferon beta, Chloroquine dan Hydroxychloroquine.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) telah menyegerakan proses pelaksanaan kaji selidik ubat untuk merawat pesakit Covid-19 yang akan bermula tidak lama lagi.
Menurutnya, sebanyak sembilan hospital akan terlibat iaitu Hospital Tuanku Fauziah, Hospital Sultanah Bahiyah, Hospital Pulau Pinang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Melaka, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Hospital Umum Sarawak dan Hospital Queen Elizabeth.
"Penyelidikan ini akan diketuai Pakar Perunding Penyakit Berjangkit, Dr Chow Ting Soo di Hospital Pulau Pinang dengan pasukan terdiri daripada 16 Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit dan ahli farmasi sebagai penyelidik bersama di hospital-hospital KKM masing-masing," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, KKM memberi jaminan bahawa kaji selidik tersebut akan mematuhi semua piawaian keselamatan yang ditetapkan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
"Penyertaan Malaysia dalam kaji selidik sedunia ini dapat membantu pencarian ubat menyelamatkan nyawa mangsa Covid-19 melalui penilaian keselamatan dan keberkesanannya," kata Dr Noor Hisham.
Beliau menambah bahawa Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) KKM dan Clinical Research Malaysia (CRM) akan membantu memudahkan pelaksanaan inisiatif kajiselidik WHO di Malaysia.
Sementara itu, Ketua misi dan wakil WHO ke Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura, Dr Ying-Ru Lo berkata, pandemik global menjejaskan lebih 180 negara dan salah satu ubat-ubatan itu adalah harapan terbaik untuk merawat mereka dijangkiti Covid-19.
"Inilah peluang kita sebagai sebuah komuniti global untuk menentang gelombang pandemik ini.
Malaysia akan menjadi rakan kongsi yang penting dalam kaji selidik ini untuk menilai rawatan yang berpotensi yang lebih berkesan dan menyelamatkan nyawa dalam pertempuran global untuk melawan virus ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!