Tiada kematian akibat Covid-19 di PPR Harmoni Sandakan

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

KOTA KINABALU - Tiada kematian akibat wabak Covid-19 di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Harmoni, Sandakan seperti yang tular di aplikasi WhatsApp baru-baru ini.

Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi hari in berkata, berita tular itu tidak benar.

“Berita yang tular menerusi aplikasi Whatsapp berkenaan kematian akibat wabak Covid-19 di PPR tersebut tidak benar,” katanya dalam kenyataan di sini.

Dalam pada itu, Dr Christina berkata, 13 kes baharu Covid-19 di Sabah dilaporkan semalam merangkumi lima kes di Kota Kinabalu; Kinabatangan (tiga kes), Penampang (dua) dan satu kes di Tuaran, Beaufort dan Kunak.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di negeri ini sebanyak 238 kes setakat semalam, katanya.

Menurutnya, seorang pesakit Covid-19 di Sabah telah sembuh menjadikan kumulatif pesakit sembuh di negeri ini adalah seramai 34 orang setakat 4 April.

Sementara itu, Dr Christina berkata, penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE) di fasiliti kesihatan meningkat mendadak sejak kejadian penularan wabak Covid-19.

Dianggarkan kira-kira 1,500 hingga 2,000 unit PPE digunakan di hospital dalam sehari dan 3,000 unit di klinik kesihatan untuk tempoh sama.

Artikel Berkaitan:

PPE adalah peralatan yang memerlukan bekalan berterusan memandangkan ia tidak boleh dikongsi dan tidak boleh digunakan semula, justeru pihaknya merakamkan penghargaan dan berterima kasih kepada semua pihak yang memberi sumbangan PPE untuk kegunaan petugas kesihatan barisan hadapan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!