Lelaki menyamar pegawai polis ditahan
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai menyamar sebagai pegawai kanan polis di Jalan Kuari, Cheras sekitar jam 12.25 tengah malam semalam.
Dalam kejadian itu, polis turut menahan dua wanita warga asing yang berada di dalam kereta dinaiki suspek selepas didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, suspek berusia 34 tahun terbabit ditahan sepasukan anggota polis Unit Rondaan Bermotosikal selepas kereta dinaikinya berada dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan terhadap kereta berkenaan, polis menemui sehelai vest berlogo Polis Diraja Malaysia yang tertera perkataan ‘polis’ dengan pangkat Asisten Superintenden.
“Lelaki tersebut memperkenalkan dirinya sebagai pegawai kanan polis dari Bukit Aman, namun dia gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri mahupun kad kuasa polis.
"Dalam kenderaan itu juga, terdapat dua wanita warga Indonesia berusia 18 dan 22 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamed Mokhsein berkata, semakan terhadap suspek lelaki tersebut mendapati dia tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau serta ujian saringan air kencingnya juga negatif.
"Suspek ditahan reman bermula semalam hingga esok untuk disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan manakala dua wanita tersebut ditahan reman selama 14 hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6 (1) (C ) Akta Imigresen," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!