PKP: Peniaga perlu ubah kaedah pemasaran, jualan
SHAH ALAM - Peniaga yang terjejas dengan penularan wabak koronavirus (Covid-19) perlu mengambil langkah dengan mengubah kaedah pemasaran dan jualan secara dalam talian.
Naib Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Selangor, Kamal Ahmad Abdullah berkata, kaedah pemasaran dan jualan secara dalam talian sangat relevan pada masa kini berikutan masyarakat tidak dapat berada di luar rumah ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, terdapat banyak platform dalam talian yang dapat digunakan sebaiknya oleh para peniaga bagi memasarkan produk masing-masing.
"Mereka boleh guna media sosial atau medium pemasaran dan penghantaran yang semakin berkembang di negara ini untuk memasarkan produk mereka.
"Selain itu, mereka juga dapat mempelbagai perniagaan menerusi pemasaran dan jualan secara dalam talian," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.
Selepas kerajaan memutuskan untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan PKP yang bermula 18 Mac lalu sehingga 14 April ini dalam usaha untuk memutuskan rantaian pandemik Covid-19, banyak perniagaan dilaporkan terjejas.
Mengulas lanjut, Kamal berkata, sejak penularan Covid-19 di negara ini, kebanyakan peniaga sememangnya mengeluh berikutan punca pendapatan mereka semakin merosot.
"Banyak perniagaan terkesan dengan Covid-19 ini malah di antara peniaga terpaksa mengikat perut," katanya.
Dalam pada itu, Kamal berkata, penularan Covid-19 di negara ini dapat menjadi iktibar kepada seluruh peniaga agar sentiasa bersiap-sedia dalam menghadapi sebarang kejadian tidak diingini.
"Sebelum ini, ada di antara peniaga langsung tidak menghiraukan persediaan simpanan seperti menyediakan wang kecemasan atau sebagainya.
"Kejadian ini menjadi iktibar supaya mereka lebih bersedia dalam sebarang keadaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!