Lapan pemuda kuarantin di hutan
ACEH - Lapan pemuda mengasingkan diri di sebuah hutan di Kampung Jali, Kota Jhantoe selama 14 hari sebagai saringan wabak koronavirus (Covid-19) selepas pulang dari Jakarta pada 30 Mac.
Kompas melaporkan, mereka terpaksa pulang kerana tempat kerja ditutup sementara selama pandemik wabak Covid-19.
Sebelum tiba di kampung halaman, ibu bapa kesemua pemuda itu meminta mereka mengasingkan diri kerana masih di bawah orang dalam pemantauan (ODP).
Difahamkan seramai 11 individu terlibat tetapi tiga daripada mereka melakukan kuarantin di rumah masing-masing.
Ketua kampung daerah Aceh Besar, Husaini BA berkata, pada awalnya pemuda itu merancang tinggal di sebuah rumah yang jauh dari kampung tetapi tidak dibenarkan dan memilih tinggal di hutan berhampiran sungai dengan mendirikan khemah.
“Awalnya cadangan ada rumah yang jauh dari kampung untuk dijadikan tempat kuarantin tapi keadaan rumah sudah lama tak digunakan dan agak bahaya. Jadi mereka pindah ke lokasi yang dekat dengan sungai,”
Semalam adalah hari keenam mereka tidur di hutan dan menjalani aktiviti seperti biasa.
Dua khemah lengkap dengan tempat tidur disediakan oleh pihak berkuasa dan keluarga juga membantu menyediakan perkakas harian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!