Agihan makanan manfaatkan 173,000 keluarga: LZNK
ALOR SETAR - Fasa kedua agihan makanan oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) yang bermula hari ini sekali gus memberi manfaat kepada 173,400 keluarga yang terjejas akibat koronavirus (Covid-19).
Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Zakaria Othman berkata, bantuan tersebut melibatkan 578 masjid di seluruh negeri dengan setiap masjid menerima 300 kampit beras 5 kilogram, 600 tin sardin dan 100 botol kicap.
Menurutnya, bantuan fasa kedua hingga ke empat melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM9.7 juta sebagaimana diperkenankan oleh Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
"Setiap masjid akan memberi manfaat kepada 300 keluarga yang akan terima satu kampit beras, dua tin sardin dan satu botol kicap.
"Kita harap ia mampu memberikan keselesaan kepada mereka yang terputus bekalan makanan.
"Kita akan agih mulai hari ini sehingga 15 April bagi agihan fasa kedua di seluruh masjid di seluruh Kedah," katanya ketika ditemui di Kompleks Pembangunan Asnaf, Mergong dekat sini hari ini.
Zakaria berkata, fasa ketiga pula akan bermula selepas 15 April sehingga 30 April dan setiap masjid akan menerima jumlah bantuan sama sebagaimana fasa kedua, manakala agihan fasa keempat pula akan dibuat pada minggu kedua Ramadan.
Katanya, pelaksanaan fasa pertama membabitkan peruntukan RM7 juta sebelum ini juga telah selesai diagihkan di seluruh masjid di negeri ini.
"Jumlah agihan bantuan bagi fasa kedua hingga keempat membabitkan peruntukan tambahan sebanyak RM9.7 juta selepas fasa pertama membabitkan RM7 juta telah selesai diagihkan di seluruh masjid di negeri ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!