Tak sempat COD ayam segar, telefon bimbit dilarikan pencuri

Tular di Facebook berhubung permohonan maaf dan laporan polis dibuat Din's Frozen berhubung kehilangan telefon bimbit ketika ingin melakukan COD kepada pelanggan.
Tular di Facebook berhubung permohonan maaf dan laporan polis dibuat Din's Frozen berhubung kehilangan telefon bimbit ketika ingin melakukan COD kepada pelanggan.
A
A
A

SABAK BERNAM - Hasrat seorang lelaki menggunakan kaedah bayar selepas terima (COD) ayam segar kepada pelanggannya tidak kesampaian apabila telefon bimbitnya yang menyimpan semua maklumat pelanggan dilarikan pencuri dalam kejadian berhampiran sebuah kedai serbaneka di Panchang Bedena di sini semalam.

Pemilik dan Pembekal Ayam Segar, Din's Frozen, Mahyiddin Shuib, 54, berkata, kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu berlaku ketika menantunya yang memandu sebuah kereta singgah di kedai serbaneka berkenaan.

Menurutnya, ketika kejadian, menantunya, Mohd Hasbullah Sulaiman singgah sebentar di kedai serbaneka untuk membeli air meninggalkan telefon bimbit di dalam 'dashboard' (papan pemuka kereta) ketika keluar daripada kenderaannya.

"Sejurus masuk ke dalam kereta, menantu saya terkejut apabila mendapati telefon bimbitnya yang diletakkan di dalam 'dashboard' hilang," katanya.

Mahyiddin berkata, telefon bimbit jenis Samsung A30 Galaxy itu disyaki dicuri berikutan kenderaan terbabit tidak berkunci ketika menantunya itu memasuki kedai serbaneka berkenaan.

"Segala urusan tempahan melalui COD semalam menggunakan nombor telefon bimbit terbabit tidak dapat dihantar memandangkan semua maklumat pelanggan disimpan di dalamnya," katanya.

Justeru, katanya, pihaknya memohon maaf kepada kira-kira 14 pelanggan berikutan kegagalan menghantar ayam menerusi COD semalam.

Katanya, pihaknya telah membuat laporan polis mengenai kejadian itu bagi mengelakkan nombor telefon bimbit yang dicuri pihak tidak bertanggungjawab disalah guna untuk tujuan penipuan.

Artikel Berkaitan:

"Kami meminta pelanggan tidak berurusan dengan nombor telefon 01124070527 yang mungkin mengambil kesempatan dengan menyamar sebagai pekerja Din's Frozen bagi mengambil tempahan pelanggan, selain tidak membuat apa-apa bayaran pada nombor tersebut," katanya.

Menurutnya, pihaknya telah membuat laporan polis mengenai kejadian itu dan memaklumkan di media sosial Facebook selain berharap dapat menyelesaikan perkara itu segera.

"Kami akan ganti nombor telefon baharu dalam masa terdekat dan mendapatkan maklumat pelanggan yang telah membuat tempahan pada hari kejadian.

"Buat masa sekarang kami menghentikan sementara kaedah pembayaran melalui dalam talian melainkan mereka yang dikenali dan menghubungi saya secara terus," katanya.

Sebelum ini tular di Facebook berhubung permohonan maaf dan laporan polis dibuat Din's Frozen berhubung kehilangan telefon bimbit ketika ingin melakukan COD kepada pelanggan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!