Singapura kuarantin 19,800 pekerja asing
SINGAPURA - Singapura semalam melaksanakan langkah kuarantin selama 14 hari ke atas dua asrama yang menempatkan kira-kira 19,800 pekerja asing yang telah menyaksikan peningkatan mendadak kes jangkitan koronavirus (Covid-19).
Dua premis yang terlibat ialah S11 Dormitory di Punggol yang dihuni 13,000 pekerja dan mencatatkan 62 kes serta Westlife Toh Guan Dormitory yang didiami 6,800 pekerja dan merekodkan 28 kes.
Kedua-duanya menempatkan pekerja dalam sektor pembinaan dari Asia Selatan.
Difahamkan, pekerja yang asimptomatik atau tidak menunjukkan gejala jangkitan telah diasingkan.
Menteri Tenaga Kerja, Josephine Teo ketika menjelaskan langkah itu berkata, objektif utama adalah untuk memastikan kesihatan dan kesejahteraan semua orang dan bukan hanya rakyat tempatan malah pekerja asing yang membantu ekonomi dan majikan mereka.
"Kami mahu memberi jaminan langkah itu terpaksa diambil demi kepentingan mereka," ujarnya dalam satu sidang media.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kementerian Tenaga Kerja, Jason Chen berkata, kesemua pekerja asing terbabit memahami keperluan langkah kuarantin tersebut.
"Mereka akan turut diberikan makanan percuma dan beg goodie mengandungi topeng muka, hand sanitizer dan snek," katanya.
Di bawah langkah itu, mereka dinasihatkan untuk menghentikan interaksi sosial dengan rakan yang berlainan bilik atau tingkat selain pergerakan ke blok lain adalah dilarang sama sekali. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!