Pegawai mahkamah diarah maklum rayuan PKP untuk pendengaran segera

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Hakim Besar Malaya (CJM) dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak (CJSS) telah mengarahkan pegawai mahkamah untuk memaklumkan sebarang permohonan semakan kehakiman dan rayuan jenayah yang difailkan oleh pihak yang memohon untuk mencabar perintah mahkamah berhubung kesalahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ini adalah untuk memastikan tarikh pendengaran bagi perkara berkenaan ditetapkan untuk keutamaan segera dan didengar di mahkamah terbuka.

Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Ahmad Terrirudin Mohd Salleh memaklumkan kepada timbalan pendaftar dan penolong kanan pendaftar Mahkamah Tinggi arahan yang dikeluarkan oleh Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abang Iskandar Abang Hashim.

Beliau memaklumkan kepada pegawai mahkamah dalam surat bertarikh hari ini yang dipetik media.

Mahkamah Majistret dan Sesyen di seluruh negara sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara antara beberapa hari dan bulan dan denda antara ratusan hingga RM1,000 juga hukuman Perintah Kehadiran Wajib (PKW) yang merupakan program khidmat masyarakat, terhadap beberapa pesalah termasuk warga emas dan remaja yang melanggar PKP.

Kesalahan yang paling banyak dilakukan ialah gagal mematuhi PKP dengan bergerak dari satu tempat ke tempat lain dalam mana-mana kawasan jangkitan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara enam bulan dan denda RM1,000 atau kedua-duanya.

Ada juga didakwa menghalang tugas penjawat awam dalam menjalankan fungsi mereka ketika tempoh PKP mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 25 Mac Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP dilanjutkan sehingga 14 April untuk membendung penularan wabak Covid-19. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!