Sultan Abdullah tersenarai penggiliran Agong

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah berkenan melafazkan sumpah sebagai Sultan dan Raja Pemerintah bagi negeri Pahang dan dan segala jajahan takluknya pada Istiadat Pemasyhuran Sultan Pahang Keenam di Istana Abu Bakar, hari ini. Foto: Bernama
Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah berkenan melafazkan sumpah sebagai Sultan dan Raja Pemerintah bagi negeri Pahang dan dan segala jajahan takluknya pada Istiadat Pemasyhuran Sultan Pahang Keenam di Istana Abu Bakar, hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

PEKAN - Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam hari ini, sekali gus melayakkan baginda disenaraikan untuk dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong XVI berdasarkan penggiliran Raja-raja Melayu.

Mengikut konvensyen penggiliran senarai sembilan negeri beraja, turutan negeri dalam pusingan pertama sistem penggiliran ini sejak 1957 ialah Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak.

Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja bagi tujuan memilih Yang di-Pertuan Agong baharu, berikutan peletakan jawatan oleh Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong XV pada 6 Januari lepas, akan diadakan pada 24 Januari ini di Istana Negara.

Pemasyhuran Sultan Abdullah hari ini diadakan di Balairung Seri, Istana Abu Bakar di Bandar Diraja ini, bagi menggantikan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Sultan Abu Bakar, selepas Majlis Jumaah Pangkuan Diraja Pahang yang bermesyuarat Jumaat lepas sebulat suara memutuskan melantik baginda sebagai Sultan Pahang berikutan Sultan Ahmad Shah kini gering.

Sultan Abdullah, yang melafazkan sumpah sebagai Sultan dan Raja Pemerintah bagi negeri Pahang dan segala jajahan takluknya, berikrar menjalankan pemerintahan dengan adil mengikut undang-undang tubuh jajahan negeri Pahang.

Baginda berikrar akan memelihara dan mempertahankan pada setiap masa kesucian agama Islam, keamanan dan kesejahteraan rakyat.

Sultan Pahang bertitah akan terus mengutamakan kepentingan rakyat sepanjang pemerintahan baginda dengan berpegang kepada cogan ‘Raja dan rakyat berpisah tiada’, 'Raja dan rakyat sehati sejiwa’.

Menzahirkan penghargaan atas jasa dan pengorbanan Paduka Ayahanda dan Almarhum Bonda Tengku Ampuan Afzan Tengku Muhammad, baginda yang tidak dapat menahan sebak memohon rakyat untuk mendoakan baginda berdua.

Artikel Berkaitan:

Bertitah kepada media selepas istiadat pemasyhuran itu, Sultan Abdullah memaklumkan Waris Ganti untuk memegang jawatan Tengku Mahkota Pahang akan ditentukan selepas perbincangan bersama keluarga dan akan mengumumkannya dalam masa terdekat.

Secara tradisi, jawatan Tengku Mahkota Pahang diserahkan kepada putera sulung pemerintah semasa, iaitu anakanda ketiga Sultan Abdullah, Tengku Panglima Besar Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, 23, kini berada di Akademi Tentera Diraja Sandhurst di United Kingdom selepas mendaftar masuk ke akademi berkenaan pada awal Januari.

Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dalam ucapan ikrar taat setia kepada Sultan Abdullah menzahirkan keyakinan terhadap kekandanya untuk menerajui negeri Pahang dengan cemerlang dan bijaksana.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mewakili seluruh rakyat Pahang menzahirkan ikrar taat setia dan berjanji menyerahkan seluruh tenaga dalam memastikan kedaulatan negeri terpelihara di bawah pemerintahan baginda.

Menyifatkan Sultan Abdullah sebagai raja berjiwa rakyat, beliau berkata rakyat dapat berpayung di bawah naungan baginda yang sentiasa prihatin terhadap permasalahan dan kesusahan rakyat.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!