Gerobok Rezeki bantu orang susah
SEREMBAN - Pelbagai cara dilakukan oleh pelbagai pihak untuk membantu golongan terjejas sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuklah Masjid Qariah Ibnu Kaldun Lavender Height melalui inisiatif Gerobok Rezeki.
Pengerusinya, Mohd Asna Amin berkata, idea untuk menggerakkan projek tersebut itu timbul selepas pihaknya menerima aduan daripada masyarakat setempat antaranya bekalan makanan tidak mencukupi disebabkan punca pendapatan terputus sepanjang tempoh PKP ini.
Prihatin terhadap nasib menimpa pihak terlibat, beliau bersama bilal dan bendahari masjid mengambil inisiatif mengumpul dana bagi menyumbang kepada pihak tidak bernasib baik tanpa mengira kaum melalui pengagihan barangan keperluan harian.
"Mana-mana kaum yang susah dan perlukan makanan boleh membuat permohonan kepada kita.
"Kita juga ada membantu warga Indonesia yang terjejas pendapatan mereka pada musim PKP ini, selain itu masyarakat Rohingya juga kita bantu kerana kita ada maklumat mereka juga dalam kesusahan dan terkesan," katanya ketika ditemui di pekarangan pusat penyerahan bantuan Masjid Qariah Ibnu Kaldun, Lavender Height Senawang hari ini.
Katanya, projek yang bermula pada 23 Mac itu, pada mulanya menyediakan 50 bungkus keperluan makanan asas bernilai RM40, namun kini sebanyak 250 bungkus akan disediakan setiap hari untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan.
Sehingga hari ini, sebanyak 3,000 bungkus keperluan makanan telah diagihkan kepada masyarakat yang memerlukan melalui hasil sumbangan orang ramai dan juga syarikat korporat.
Sementara itu, salah seorang penerima bantuan, Azura Abd Malik, 43, turut bersyukur dengan bantuan diterima.
Katanya, sejak PKP dilanjutkan, khidmatnya sebagai pembersih pejabat juga tidak diperlukan berikutan syarikat di tempatnya bekerja turut ditutup.
"Pada mulanya saya rasa tidak tahu mana nak cari bantuan, duit simpanan pun tak banyak, sewa bilik perlu bayar, keperluan dapur pula semakin hari semakin susut, saya hampir putus asa.
"Mujur ada kawan yang memberitahu mengenai bantuan yang disediakan masjid ini, alhamdulillah dapatlah membantu serba sedikit, saya juga ada membuat permohonan di Baitulmal, mereka juga ada membantu memberi wang RM100 untuk saya membeli keperluan dapur," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!