Norhizam agih bantuan guna motosikal roda tiga
MELAKA TENGAH - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengakalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee mempunyai cara tersendiri membantu penduduk dalam kawasannya dengan menghantar kit bantuan makanan menggunakan motosikal roda tiga.
Norhizam mengakui, cara itu lebih memudahkan pergerakannya terutama ketika masuk ke jalan-jalan kampung yang sempit dan kecil bagi memastikan bantuan itu dapat disampaikan ke peringkat akar umbi terutama mereka yang telah disenaraikan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Melaka Tengah.
Menurutnya, kit makanan mengandungi keperluan asas seperti beras, gula, minyak dan sebagainya disediakan dengan peruntukan berjumlah RM60,000 akan diberikan secara berperingkat melalui data yang diperoleh termasuk data Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun).
"Kit makanan berjumlah 3,000 ini akan kita berikan kepada penduduk tanpa mengira latar belakang, tidak kira Melayu, Cina ataupun India.
"Daripada jumlah itu 1,000 kit makanan sumbangan kerajaan kepada golongan B40 manakala 2,000 kit makanan disediakan oleh Japerun bagi membantu mereka yang terkesan wabak (koronavirus) Covid-19," katanya selepas menyampaikan kit makanan di beberapa kawasan dalam DUN itu di Bachang, di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Mohd Ridhwan Mohd Ali.
Norhizam yang juga Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani berkata, program agihan kit makanan itu diadakan selama dua hari untuk memastikan beliau dapat turun padang ke 10 lokasi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dalam DUN berkenaan untuk menghantar sendiri kit makanan ke rumah penerima.
Menurutnya, inisiatif turun padang yang dilakukan juga untuk melihat sendiri dan menyelami permasalahan serta kesukaran yang dihadapi rakyat sepanjang PKP selain dapat memberikan kata-kata semangat kepada mereka.
Katanya, biarpun sedar kesukaran terpaksa dihadapi rakyat, namun mereka perlu akur dan mematuhi segala peraturan serta nasihat kerajaan untuk duduk di dalam rumah dengan pihaknya akan datang memberikan bantuan.
"Saya harap rakyat terus bersabar dan akur dengan arahan kerajaan demi memastikan wabak Covid-19 dapat ditamatkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!