PKP bukan alasan tak berlatih
PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan bagi mengekang penularan Covid-19 ketika bukan alasan untuk tidak melakukan latihan fizikal lebih-lebih jika bergelar ahli sukan.
Justeru, bagi memastikan dirinya kekal cergas, kapten Perak, Shahrul Saad, 23, memperuntukkan sekurang-kurangnya satu jam setiap hari bagi melakukan latihan fizikal di rumahnya.
"Dalam tempoh PKP ini, saya tetapkan satu jam untuk latihan fizikal, tidak kira sama ada pada sebelah pagi atau petang setiap hari. Kadang-kadang saya buat dua sesi, sebelah pagi dan petang.
"Latihan fizikal yang saya buat ini juga menggunakan kemudahan alatan kecergasan yang memang ada di rumah. Bagi saya ia membantu dalam mengekalkan tahap kecergasan diri dalam tempoh (PKP) ini," katanya.
Pemain pertahanan Harimau Malaya itu juga berkata, latihan fizikal yang dilakukan akan dimaklumkan kepada jurulatih kecergasan The Bos Gaurus, Sam Pakiaraj bagi memastikan ia dilakukan dengan betul dan mengikut jadual yang disusun.
Dalam pada itu, Shahrul mengakui latihan secara bersendirian kurang menyeronokkan berbanding berlatih bersama rakan-rakan sepasukannya.
"Kebiasaannya, kita berlatih bersama-sama tapi kali ini kena buat sendiri. Kadang-kadang ada rasa tak seronok sebab tak dapat jumpa rakan sepasukan yang lain. Apa pun kita kena utamakan keselamatan diri dan harap PKP ini akan berakhir," ujarnya.
Pemain sayap lincah Perak, J Parthiban juga memperuntukkan satu jam sehari melakukan latihan fizikal dengan berpandukan kepada jadual khas yang disusun oleh jurulatih kecergasan.
Parthiban berkata, jadual berkenaan perlu diikuti memandangkan sebelum ini dia mengalami kecederaan hamstring semasa aksi Liga Super menentang Selangor di Stadium Shah Alam pada 7 Mac lepas.
"Latihan saya lebih kepada pergerakan kaki, ball work dan beberapa latihan ringan lain. Setakat ini kecederaan saya makin pulih dan pada masa yang sama masih mengikuti jadual yang ditetapkan," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!