"Uncle ada makanan, saya sudah 3 hari tak makan..."

Kisah adik Krisnen yang dikongsi 'Mohd Zaki bin Salleh' di Facebook
Kisah adik Krisnen yang dikongsi 'Mohd Zaki bin Salleh' di Facebook
A
A
A

SHAH ALAM- Sepanjang kita menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pernahkah kita membayangkan keadaan sebuah keluarga lain yang tidak mempunyai makanan di dalam rumah mereka.

Satu rakaman video yang tular di laman Facebook mengenai seorang budak lelaki yang mendakwa sudah tiga hari tidak makan mungkin sahaja boleh dijadikan iktibar kepada kita.

Video terbabit boleh buat kita semua mensyukuri nikmat yang diberikan oleh Tuhan kerana masih mempunyai banyak makanan lazat di rumah biarpun pergerakan terbatas susulan PKP.

Berdasarkan rakaman video berdurasi 31 saat yang dimuatnaik oleh pemilik akaun atas nama 'Mohd Zaki bin Salleh' di Facebook miliknya, dia didatangi kanak-kanak lelaki berkenaan selepas memberhentikan kereta.

“Saya berhenti kereta. Datang adik Krisnen terus tanya uncle ada makanan? Saya sudah 3 hari tak makan.

“Saya tanya di rumah ada berapa orang? Dia cakap lima orang. Terus saya hulurkan lima bungkus nasi putih siap gulai, sambal belacan dan ikan keli. Mesti keluarga dia suka boleh makan malam ini,” tulis Mohd Zaki.

Menerusi video yang sama, Krisnen berkata bapanya tidak dapat bekerja.

Video berkenaan dikongsi sebanyak 6,000 kali dan mendapat 2,800 tanda suka. Rata-rata netizen berterima kasih kepada Mohd Zaki atas sumbangan tersebut.

“Thanks bro,” kata pengguna Facebook bernama Buwaneswari Nagayan.

Artikel Berkaitan:

“Mesti family dia seronok dapat makan hari ni,” komen pengguna Facebook bernama Rizal pula.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!