Anak sulung arwah Ustazah Shadiya Abbas luah rasa rindu
SHAH ALAM - Sukar menggambarkan kesedihan seorang anak ketika berdepan detik kematian ibu tersayang.
Ahmad Al Fateh dalam akaun Facebook miliknya meluahkan rasa rindu buat ibunya, Ustazah Shadiya Abbas yang meninggal dunia secara mengejut pada jam 5.05 pagi kerana asma semalam.
Anak sulung arwah juga sukar untuk menggambarkan perasaannya ketika ini, namun yang pasti ibunya adalah hero buatnya.
Dia juga berasa sedih kerana pada tahun ini sambutan bulan Ramadan dan Aidilfitri tanpa ibunya di sisi.
"Mama, tahun lepas raya 2019 tapi raya tahun ni (2020) dah tiada peluang untuk mama suapkan saya... Mama masak sedap, mama adalah hero saya, semasa saya susah mama yang tolong saya.
"Bila saya stres, mama tenangkan saya. Bila saya marah kat mama, mama reda dengan apa yang saya buat pada mama," tulisnya.
Katanya, tatkala mendapat berita ibunya meninggal dunia, dia menangis semahunya.
"Saya menangis mama dah tiada bila saya baca group WhatsApp. Saya rasa mustahil mama dah tiada di hati saya. Mama sentiasa doakan saya supaya saya menjadi seorang penghuffaz al-Quran.
"Terima kasih mama sebab jadi mama saya. Mama dah buat macam yang saya nak. Saya doakan mama agar mama diampunkan dosa dan saya doakan agar dimasukkan ke syurga firdaus. Assalamualaikum mama. Insya-ALLAH kita akan bertemu di syurga. Tunggu saya tau ma? Sayang mama!!!," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad juga sempat memberi nasihat kepada orang ramai agar menghargai ibu bapa kerana kita tidak tahu bila ajal mereka.
Semalam, Sinar Harian melaporkan berita sedih pemergian pendakwah terkenal Allahyarhamah Ustazah Shadiya Abbas sebaik dimaklumkan oleh suaminya di akaun Facebook miliknya.
MK Azman turut memberitahu jenazah isterinya berada di Hospital Sungai bagi menjalani ujian untuk mengetahui sama ada kematiannya berpunca daripada jangkitan Covid-19 atau sebaliknya.
Namun hari ini, beliau memberitahu isterinya bebas dari Covid-19 dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Cherakah Puncak Alam selepas Zohor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!