Ibadah haji: Tunggu kenyataan rasmi Arab Saudi

 Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semua pihak disaran menunggu kenyataan rasmi kerajaan Arab Saudi berkenaan isu urusan mengerjakan ibadah haji pada tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata, setakat ini tiada sebarang kenyataan rasmi dan arahan yang dikeluarkan kerajaan Arab Saudi berkaitan isu berkenaan.

“Saya akan berbincang esok (Selasa) dengan Duta Arab Saudi ke Malaysia, Datuk Dr Mahmoud Hussien Saeed Qattan untuk mendapatkan pencerahan dan penjelasan dengan sebaiknya... insya-ALLAH selepas itu saya boleh mengambil beberapa tindakan atau membuat penyataan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Arab Saudi minta semua negara Islam tidak meterai sebarang kontrak haji buat masa ini

Beliau diminta mengulas berita yang tular di media sosial hari ini yang menyebut kononnya kerajaan Arab Saudi telah secara rasmi membatalkan urusan mengerjakan ibadah haji pada tahun ini dan mengeluarkan larangan mengerjakan ibadah umrah selama 10 bulan berikutan penularan wabak Covid-19.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, sebarang bentuk berita yang tular seharusnya diperhalusi terlebih dahulu selaras dengan tuntutan Islam menyuruh umatnya bertabayyun (mendapatkan kepastian) dengan setiap berita yang diterima.

“Justeru itu, pastikan dahulu berita benar dan sahih berdasarkan pada sumber yang dipercayai,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Muhammad Saleh Taher Banten telah meminta negara di seluruh dunia menunggu dahulu daripada membuat persediaan akhir mengerjakan haji tahun ini sehingga keadaan wabak Covid-19 pulih.

Dalam temu bual dengan TV al-Ikhbaria, Muhammad Saleh turut berkata, wang akan dikembalikan kepada mereka yang sudah mendapat visa umrah, tetapi tidak dapat melaksanakannya disebabkan langkah berjaga-jaga yang sedang diambil kerajaan Arab Saudi.

Artikel Berkaitan:

Pada Februari lalu Kerajaan Arab Saudi telah mengambil keputusan untuk menutup kota suci Makkah dan Madinah kepada warga asing bagi mengekang penyebaran virus Covid-19.

Arab Saudi pernah beberapa kali menangguhkan urusan mengerjakan ibadah haji termasuk pada tahun 1918 berikutan wabak selesema yang telah meragut lebih 10 juta nyawa di seluruh dunia. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!