Ini nasihat Ketua Pengarah Kesihatan kepada orang ramai
PUTRAJAYA - Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil topeng muka dan cecair pembasmi kuman di fasiliti kesihatan.
Menurutnya, barangan tersebut adalah kegunaan barisan hadapan yang merawat pesakit koronavirus (Covid-19).
"Sekiranya barang itu diambil untuk kegunaan sendiri, dia kena fikir bukan dia seorang yang perlu pakai.
"Nasihat saya, jangan ambil topeng penutup muka dan hidung, cecair pembasmi kuman mahupun sarung tangan kerana ia adalah kegunaan penting untuk barisan hadapan.
"Keutamaan adalah untuk mereka di barisan hadapan,” katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial, seorang wanita yang dipercayai kakitangan hospital berkongsi gambar beberapa kotak topeng penutup hidung dan mulut yang dikatakan diambil di hospital.
Malah, wanita terbabit juga bertindak menjual topeng penutup mulut dan hidung itu di laman sosial Facebook miliknya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!