Rakyat terima Bantuan Prihatin Nasional mulai hari ini
KUALA LUMPUR - Kira-kira 8.3 juta isi rumah dan individu bujang mula menikmati pemberian fasa pertama Bantuan Prihatin Nasional (BPN) secara berperingkat hari ini.
Bantuan itu semestinya melegakan ramai pihak terutama golongan bekerja sendiri dengan upah harian, golongan B40 dan yang menghadapi masalah gaji bulanan.
Kerajaan pada 27 Mac lalu mengumumkan BPN sebanyak RM9.24 bilion dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat 2020 (Prihatin) bagi memastikan tiada golongan yang tercicir.
Pembayaran BPN ialah RM1,600 kepada golongan isi rumah berpendapatan RM4,000 ke bawah; RM1,000 kepada isi rumah berpendapatan RM4,001 hingga RM8,000; RM800 kepada individu bujang berpendapatan RM2,000 ke bawah; dan RM500 kepada individu bujang berpendapatan RM2,001 hingga RM4,000.
Seorang pegawai khidmat pelanggan di syarikat swasta Osborne Panis Jatan,29, yang layak mendapat bantuan individu bujang berkata, inisiatif kerajaan itu amat bertepatan pada masanya memandangkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 'membantutkan' segala kerja harian.
"Sehingga sekarang ramai pekerja dan peniaga tidak dapat mencari rezeki seperti biasa. Cukup atau tidak bantuan yang diberikan bergantung kepada cara penggunaan.
"Saya dari keluarga besar minyak dan gas, dan ada sesetengah pekerja sektor ini juga tidak dapat pergi kerja kerana isu jangkitan COVID-19 dan bantuan kerajaan sedikit sebanyak meringankan beban mereka," katanya yang berasal dari Miri, Sarawak.
Seorang pelajar semester empat Politeknik Nilai, D Dharsheeni,20, turut berterima kasih kepada kerajaan atas bantuan RM200 yang diberikan kepada pelajar institusi pengajian tinggi.
"Saya anak sulung daripada lima beradik, ayah pemandu lori dan ibu suri rumah. Sebelum masuk politeknik, saya kerja sambilan di salun rambut bagi mencari pendapatan tambahan... dengan RM200 ini, saya boleh guna untuk projek akhir saya," katanya.
Pemilik butik pengantin, Nor Azian Mat@Harun, 37, turut menarik nafas lega apabila termasuk dalam senarai penerima bantuan bagi isi rumah berpendapatan bawah RM4,000.
"Masa awal-awal PKP diumumkan, saya memang agak sedih memandangkan semua 13 pelanggan terpaksa tunda tarikh perkahwinan. Saya dah keluarkan modal untuk persiapan pelamin pelanggan, bila semuanya terpaksa ditunda, saya reda.
"Alhamdulillah, lepas PM (Tan Sri Muhyiddin Yassin) umum BPN, memang rasa syukur sangat dan saya rasa lega sebab dapat tampung balik modal yang saya dah keluarkan... boleh la duit tu buat belanja anak-anak," katanya yang menerima tempahan butik pengantin di sekitar Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Nor Azian yang turut menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM900 berkata buat masa sekarang beliau terpaksa menghentikan operasi butiknya dan hanya menerima tempahan secara dalam talian.
Pekerja swasta, Nurul Yaqira Deraman,31, berkata, bantuan sebanyak RM800 yang diterimanya akan dimanfaatkan sebaiknya sepanjang tempoh PKP berikutan beliau terpaksa bercuti tanpa gaji ekoran masalah kewangan yang dihadapi syarikatnya.
"Awalnya saya agak buntu bila majikan minta saya cuti tanpa gaji. Pening fikir macam mana nak bayar sewa rumah, nak belanja makan, duit simpanan pun makin hari makin kurang.
"Tapi sekarang memang saya bersyukur sangat bila dapat bantuan ni. Sekurang-kurangnya boleh saya dan adik buat belanja. Lagipun, adik saya juga dapat RM800 hari ini," katanya.
Sementara itu, kebanyakan warganet di laman sosial termasuk Facebook, Instagram dan Twitter rata-rata turut melahirkan kelegaan apabila masing-masing menerima bantuan hari ini.
Pengguna Facebook Tyaa Aziz menulis: “Alhamdulillah, syukur. Terima kasih bantu ringankan bebanan buat pekerja yang unpaid macam kami”.
Tidak kurang ada juga yang sempat menitipkan pesanan mesra untuk mengekalkan jarak sosial ketika berurusan di kaunter ATM bagi mengeluarkan wang: "Terima kasih kerajaan. Jadi yang pergi ATM nanti keluarkan duit tu ingat jarak anda ye, 1 meter," tulis Noor Salmizurah Osman.
Seorang lagi pengguna Wana Nana II menulis: “Alhamdulillah, sekurang-kurangnya adalah rezeki untuk keluarga yang sangat-sangat memerlukan sekarang ini... ada makanan atas meja untuk dihidangkan (kepada) satu keluarga mereka, boleh dapat digunakan sebaiknya”.
- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!