Terima kasih kerana dengar rayuan majikan: MTUC

Abdul Halim Mansor
Abdul Halim Mansor
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyambut baik pengumuman Pakej Rangsangan Prihatin Rakyat (Prihatin Tambahan) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Presiden MTUC, Datuk Abdul Halim Mansor berkata, itu membuktikan kerajaan mendengar dan prihatin terhadap permohonan majikan dan pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Tindakan kerajaan dengan menaikkan bantuan subsidi gaji daripada had 100 orang pekerja kepada 200 orang pekerja adalah satu tindakan prihatin dan mendengar keperluan yang dimohon oleh majikan dan PKS.

“Bantuan subsidi gaji dari RM600 dinaikkan kepada RM800 sehingga RM1,200 bagi majikan dan PKS yang mempunyai tenaga kerja seramai 75 pekerja ke bawah. MTUC mengambil peluang ini mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri dan kerajaan.

“Ini satu tindakan luar biasa dan bersungguh-sungguh daripada kerajaan namun dengan satu syarat, pekerja tidak diberhentikan dalam masa enam bulan iaitu tiga bulan dalam tempoh PKP dan tiga bulan selepas PKP,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Halim berkata, majikan dan PKS juga perlu bersama-sama dalam menghadapi pandemik koronavirus (Covid-19) dengan semangat solidariti diserap oleh majikan dan PKS dalam menghargai keprihatinan kerajaan memerangi bencana wabak itu.

Menurutnya, rakyat khususnya pekerja, penjaja, peniaga kecil, petani dan nelayan adalah kelompok masyarakat yang terjejas teruk dalam menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan termasuk 50 peratus daripada mereka tidak mendapat faedah ke atas pakej rangsangan itu.

Sehubungan itu, MTUC masih memohon kepada kerajaan agar dapat memikirkan kaedah sesuai untuk pekerja boleh terus bekerja dengan syarat dan peraturan mesti dikuatkuasakan untuk keselamatan dan kesihatan dari ancaman Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“MTUC melihat jika Perintah Kawalan Pergerakan ini diteruskan dengan masa yang lebih panjang maka negara akan menghadapi masalah ekonomi yang serius dan pengurangan tenaga kerja akan berlaku dalam skala terlalu besar,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!