PDRM terima 55,000 rangkaian data kontak pesakit Covid-19
KUALA LUMPUR - Seramai 44 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah disahkan positif Covid-19.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, kes terbaharu membabitkan seorang pegawai polis berpangkat Inspektor kelmarin.
"Kontak rapatnya telah diarahkan membuat saringan dan kuarantin di rumah," katanya.
Berikutan kes positif dalam kalangan anggotanya, beliau berkata, lebih 900 anggota serta pegawai PDRM juga diarahkan menjalani kuarantin di rumah.
Dalam perkembangan berasingan, Abdul Hamid berkata, PDRM menerima 55,000 rangkaian data kontak pesakit Covid-19 termasuk kalangan kluster tabligh daripada Kementerian Kesihatan (KKM) sehingga semalam.
"Data itu dianalisa pasukan petugas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) sebelum diserahkan kepada KKM bagi menggesa kontak pesakit tampil ke hospital untuk menjalani saringan pemeriksaan.
"Menerusi analisa dijalankan oleh pasukan khas itu, kita berupaya membuat jangkaan mengenai kontak rapat pesakit melalui penawaran kepakaran teknologi PDRM bagi membantu KKM khususnya terhadap individu bawah pemantauan (PUS) dan individu bawah siasatan (PUI)," katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.
Abdul Hamid memaklumkan, pihaknya mahu membantu KKM untuk memantau individu yang ingkar arahan berkurung dalam rumah (kuarantin) apabila mereka bertindak keluar dari kediaman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!