DAP gagal kawal jentera, terdesak nak menang

Annuar ketika menghadiri program makan malam santai bersama belia di Tanah Rata, hari ini. - Foto SINAR HARIAN oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Annuar ketika menghadiri program makan malam santai bersama belia di Tanah Rata, hari ini. - Foto SINAR HARIAN oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

CAMERON HIGHLANDS - Umno mendakwa DAP gagal mengawal jentera hingga berlaku politik wang dalam kempen PRK Cameron Highlands.

Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa berkata, parti kerajaan itu terlalu terdesak untuk menang di Parlimen ini.

"Orang berwang sahaja akan main politik wang. Saya fikir mungkin DAP sangat-sangat inginkan kemenangan di sini.

[ ARTIKEL BERKAITAN: PRK Cameron Highlands: PH nafi beli undi ]

"Setakat ini mereka gagal mengawal jentera parti sehingga melanggar secara nyata beberapa peraturan pilihan raya walaupun mereka cuba mencari alasan-alasan," katanya kepada pemberita ketika menghadiri program makan malam santai bersama belia di Tanah Rata, hari ini.

Menurutnya, politik wang menular dalam kerajaan itu sudah menjadi pengetahuan umum.

"Sudah diketahui umum politik wang diamalkan pihak kerajaan. Apabila ada wang mereka berbelanjalah.

"Kita pembangkang tak ada wang jadi tak ada lah politik wang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mendakwa terserempak dengan kenderaan rasmi kerajaan digunakan untuk berkempen.

"Jentera kerajaan dikerah, ada ugutan dan juga kemudahan-kemudahan kerajaan digunakan. Saya ada bertembung dengan kereta-kereta rasmi menteri, timbalan menteri pun datang berkempen dan sebagainya.

"Kita jadi kerajaan dulu lalui perkara yang sama tapi kita sudah bertekad meninggalkan semua amalan-amalan yang bercanggah," katanya.

Dakwanya lagi, bahan kempen yang digunakan PH dalam PRK kali ini dianggarkan sudah melebihi kos ditetapkan.

"Kalau dihitung jumlah 'bilboard' dan juga bunting saya lalu dari Lipis melalui Kampung Keledek, Koyan sampai ke atas sini (Tanah Rata), saya kira kosnya sudah melebihi kos pilihan raya. Itu 'obvious' sekali.

"Banyak sekali mereka belanjakan. Di pihak kita memang diakui kita menghadapi kekurangan sumber tapi bukanlah perkara paling penting. Utamanya kita kempen rumah ke rumah, cakap dari hati ke hati dan menyantuni hati rakyat," katanya.

Ketika diminta mengulas soal kenyataan Veteran DAP Lim Kit Siang yang menyifatkan pemberian duit minyak RM20 kepada sukarelawan PH bukan satu kesalahan, Annuar secara sinis memuji seterunya itu.

"Saya syukur kerana Lim Kit Siang sudah pandai jadi kerajaan dengan alasan serupa BN bagi dulu," katanya.

Sebelum ini tersebar gambar seorang wanita berbaju logo PH mengagihkan wang kepada masyarakat Orang Asli.

Namun, PH menegaskan wang itu merupakan bayaran minyak motosikal sukarelawan ke pusat penamaan calon yang akan diisytiharkan sebagai perbelanjaan pilihan raya.

Kit Siang kemudiannya dalam satu kenyataan mengesahkan pembayaran itu sebanyak RM20 seorang kepada 60 penunggang motosikal Orang Asli bukan untuk membeli undi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!