‘Jangang keghah keng ngak’
PERASAAN penulis kini bercampur baur, kadangkala sedih, kecewa dan hairan dengan apa yang yang berlaku di seluruh dunia ketika ini.
Lebih mengecewakan lagi apabila mengikuti perkembangan terhadap sikap serta tindak-tanduk segelintir rakyat Malaysia yang seolah-olah tidak endah dengan larangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diwartakan kerajaan bagi mengekang penularan pandemic Covid-19.
Ramai masih berdegil atau sengaja tidak faham dengan fenomena wabak yang sedang melanda dunia serta negara kita waktu ini.
Setiap hari ada sahaja laporan mengenai tangkapan melibatkan orang awam yang melanggar arahan PKP ini walaupun semua pihak termasuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri merayu agar kita mematuhi perintah ini demi kebaikan bersama.
Namun ia ibarat mencurah air ke daun keladi. Siram pokok di pejabat, hantar kek, beli surat khabar dan bungkus makanan tengah hari antara alasan tidak munasabah diberikan kepada polis ketika ditahan sepanjang PKP.
Nasihat dan rayuan diberikan ibarat sia-sia. Apa sikap golongan ini sebenarnya. Bak kata orang Terengganu ‘jangang keghah keng ngak’ (jangan degil sangat). Kalau pun tidak sayangkan nyawa sendiri, tolonglah beri peluang kepada orang lain untuk meneruskan hidup.
Penulis sendiri pernah berdepan dengan manusia yang mementingkan diri sendiri di sebuah pasaraya ketika mahu membeli barangan keperluan dapur, baru-baru ini.
Kisahnya ada satu keluarga terdiri daripada suami, isteri, anak dan pembantu rumah tanpa rasa bersalah memasuki pasaraya berkenaan walaupun arahan sudah diberikan hanya seorang sahaja wakil keluarga yang dibenarkan memasuki premis itu.
Namun apa yang berlaku sebaliknya, mereka berpura-pura tidak mengenali antara satu sama lain dan tanpa rasa bersalah membeli-belah bersama-sama sedangkan Kementerian Kesihatan (KKM) sudahpun mengeluarkan garis panduan kepada orang ramai yang mahu keluar membeli barangan keperluan dan makanan untuk seisi rumah.
Jadi apa guna garis panduan diberikan sekiranya masih ada segelintir rakyat bersikap bodoh sombong seperti ini.
Melihat perkembangan semasa waktu ini, tidak pernah terduga masih ada segolongan rakyat Malaysia yang mempamerkan sikap mendukacitakan seperti dilaporkan.
Tamak, angkuh, ego, mementingkan diri sendiri dan terlalu taksub dengan kepercayaan dan pendirian, sebaiknya diketepikan malah dibuang jauh.
Fahami hasrat dan niat semua pihak yang sedang bertungkus-lumus demi memulihkan situasi getir yang sedang melanda negara pada waktu ini.
Sudah-sudahlah. Kita tak punya banyak masa untuk mengawal dan mengekang wabak ini. Semua pihak berwajib boleh terus berusaha, namun akhirnya, kalau bukan kita siapa lagi?
Malah pada saat kita diuji ini sebaiknya kita patuh pada arahan pemerintah dan seterusnya semua itu harus didukung dan disokong pula dengan segala bentuk aktiviti spiritual di rumah, berdoa bermunajat dan berserah kepada tuhan.
Lebih mengecewakan lagi, dalam keadaan genting sebegini yang memerlukan sokongan semua pihak, masih ada pihak seolah-olah cuba mempolitikkannya.
Masih kedengaran di sana sini kritikan demi kritikan, malah tuntutan untuk pihak atau individu tertentu meletakkan jawatan dan sebagainya, bersandarkan ideologi politik yang hanya gemar mencari salah.
Bagi penulis tidak salah untuk menegur cuma niat itu biar betul. Sepatutnya pada waktu ini semua pihak memberi komentar dan pandangan membina serta bekerja bersama, bukan hanya mencari kelemahan untuk mendabik dada.
Tak cukup dengan politik, timbul pula komen dan kritikan terhadap keputusan majlis fatwa untuk menghentikan aktiviti keagamaan. Maha suci ALLAH, tiada siapa yang boleh menafikan keesaan dan kuasa mutlak ALLAH SWT terhadap hamba-Nya.
Malah, pengalaman yang berlaku pada waktu ini juga pernah terjadi ketika zaman Rasulullah SAW dahulu.
Andai kata kita semua faham dan benar menghayati nilai hidup bermasyarakat dan benar bertakwa, keputusan dibuat secara musyawarah dan fatwa daripada golongan berwajib yang mewakili kita, selayaknya kita akur dan mentaati arahan demi kemaslahatan semua pihak.
Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, patuhilah segala garis panduan yang dikenakan sepanjang PKP ini. ‘Jangang keghah keng ngak’. Jangan ke mana-mana jika bukan urusan penting, Duduk di rumah demi keselamatan anda dan masyarakat. #dudukrumah.
* Azie Yahaya ialah wartawan Sinar Harian Nasional
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!