KBS serah pada PABM bawa kes ke CAS
KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menyerahkan kepada Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) untuk menentukan sama ada mahu membuat rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) bagi mengurangkan tempoh penggantungan setahun atau sebaliknya.
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pihaknya akan menerima dan menghormati keputusan yang akan dibuat PABM, sebagai badan sukan yang bebas dan bertanggungjawab.
“Pertama sekali kita kena terima keputusan daripada Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) dan kita tidak boleh membenarkan penyalahgunaan dadah dalam sukan. Ini perlu diambil sebagai iktibar oleh semua pihak bahawa jika ada isu doping, ia bukan sahaja jejaskan nama individu itu, malah jejaskan nama persatuan dan negara sekali.
“Saya difahamkan bahawa PABM sedang membuat kajian sebelum membuat keputusan kerana mereka diberikan tempoh 21 hari. Banyak perkara yang mereka perlu mengambil kira seperti implikasi daripada penggantungan ini, selain aspek kewangan dan masa,” katanya hari ini.
PABM digantung daripada menyertai sebarang aktiviti IWF selama setahun bermula 1 April ini hingga 1 April 2021, selain semua atlet angkat berat Malaysia tidak dibenarkan untuk menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Badan dunia itu juga tidak membenarkan atlet Malaysia menyertai sebarang kejohanan dan program anjuran IWF, selama lima bulan sehingga 1 Sept 2020 susulan beberapa kes doping melibatkan badang negara pada 2018.
Sementara itu, Reezal Merican menyarankan Majlis Sukan Negara (MSN) supaya menjadikan modul anti-doping sebagai silibus wajib Akademi Kejurulatihan Kebangsaan bagi mengelak kes penggunaan bahan terlarang dalam kalangan atlet berulang.
“Maknanya, setiap jurulatih harus jalani dan memahami kod Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) supaya mereka dapat mendidik atlet kendalian mereka. Kedua-dua atlet dan jurulatih harus diberi pengukuhan agar perkara ini tidak berulang.
“Saya juga meminta semua persatuan sukan, termasuk PABM untuk menjalinkan kerjasama yang erat dengan MSN, ADAMAS (Agensi Anti-Doping Malaysia) dan ISN (Institut Sukan Negara) dalam membendung gejala doping,” katanya.
Sementara itu, Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat berkata pihaknya masih sedang mendapatkan maklumat tambahan, selain mengkaji kesan dan akibat sebelum membuat sebarang keputusan.
“Ia bukan sahaja tentang kos, tapi juga mengenai masa dan yang lebih penting imej persatuan,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!