Pelajar Malaysia di Mesir anjur program khatam al-Quran dalam talian
SHAH ALAM - Mahasiswa Malaysia di Universiti Al-Azhar Kaherah, Mesir mengambil inisiatif melaksanakan program khatam al-Quran 30 juzuk pada setiap hari secara dalam talian sepanjang tempoh cuti kuarantin akibat wabak koronavirus (Covid-19).
Seorang pelajar jurusan Syariah Islamiyyah, Nur Syahira Saiful 'Adli berkata, program dikenali sebagai Qurantime Vs Quarantine itu turut berjaya menarik penyertaan mahasiswa di negara ini.
Menurutnya, program berkenaan dicetuskan oleh Youth Of Strength Happiness (YOSH) Mesir dan dikendalikan mahasiswa universiti terbabit dari bidang pengajian seperti Syariah Islamiyah, Lughah Arabiah, Usuluddin dan Dakwah Islamiah.
“Program ini bermula sejak kerajaan Malaysia dan Mesir mengisytiharkan cuti kuarantin pada 18 Mac lalu yang kini dilanjutkan sehingga 14 April 2020.
“Oleh itu, sebahagian asatizah (mahasiswa) yang merupakan YOSH Mesir mencipta program ini bagi mengisi masa masyarakat dan pelajar Malaysia di Mesir dengan perkara bermanfaat.
“Alhamdulillah, tanpa disedari program ini telah mendapat sambutan yang tinggi oleh pelajar dari pelbagai negara sejajar dengan jangkauan Universiti Al-Azhar,” katanya kepada Sinar Harian.
Nur Syahira berkata, program berkenaan berlangsung menggunakan kumpulan aplikasi WhatsApp dengan melibatkan 30 peserta dan seorang mahasiawa Universiti Al-Azhar sebagai pengendali.
Menurutnya, peserta juga berpeluang menyertai perkongsian lain seperti tadabbur al-Quran, sirah sahabat, Hadis Akhir Zaman melalui siaran langsung di aplikasi Intagram, Facebook, Zoom meeting, Google Hangout dan sebagainya.
“Ini bertujuan bagi menambahkan lagi kualiti penghayatan terhadap ayat al-Quran di samping menambah pengetahuan dan ilmu baru,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!