Guru wanita jadi mangsa penjual topeng muka dalam talian
KUANTAN - Seorang guru wanita membuat laporan polis dan mendakwa kerugian RM5,992 selepas diperdayakan dalam urusan pembelian topeng muka serta sarung tangan getah di laman sosial Facebook awal bulan ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berusia 24 tahun mendakwa berurusan dengan seorang suspek wanita menerusi nombor telefon yang tertera pada iklan barangan itu yang dilihatnya pada 1 April lalu.
“Mangsa mendakwa telah membuat bayaran pada 5 April lalu bagi mendapatkan 86 kotak topeng muka serta lapan kotak sarung tangan getah kerana berhasrat untuk menjual semula barangan itu.
Bagaimanapun mangsa mendakwa barangan itu tidak pernah diterimanya walaupun dijanjikan penghantaran hanya mengambil masa sehari selain usaha untuk menghubungi suspek juga tidak berjaya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd Wazir berkata, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan.
Sementara itu Mohd Wazir berkata, seorang pesara wanita berusia 66 tahun mendakwa kerugian RM37,000 selepas terpedaya dengan helah Macau Scam sehingga bertindak memindahkan wang simpanannya ke dua akaun yang tidak dikenali pemiliknya.
Mohd Wazir berkata, mangsa mendakwa dihubungi pada 30 Mac lalu kononnya oleh kakitangan Telekom Malaysia yang memaklumkan nombor telefon rumahnya digunakan secara salah oleh suspek perjudian haram dalam talian.
“Mangsa mendakwa panggilan itu disambungkan ke seorang pegawai polis yang memberitahu terdapat waran tangkap dikeluarkan terhadap dirinya menyebabkan mangsa merayu supaya waran itu dibatalkan.
Suspek mendakwa boleh berbuat demikian dengan syarat mangsa perlu memindahkan wang simpanannya ke dalam akaun yang diberikan kononnya untuk membantu siasatan,” katanya.
Mangsa yang mempercayai dakwaan suspek telah memindahkan wang simpanannya sebanyak dua kali iaitu pada 31 Mac dan 1 April lalu sebelum menyedari dirinya berkemungkinan ditipu selepas gagal menghubungi ‘pegawai polis’ itu bagi bertanyakan status waran tangkap tersebut. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!