Jangan kongsi nombor TAC anda!

Gambar Hiasan. Gambar kecil: Ahmad Adnan Basri
Gambar Hiasan. Gambar kecil: Ahmad Adnan Basri
A
A
A

BATU GAJAH - Orang ramai diingatkan tidak sesekali menyerahkan Kod Pengesahan Transaksi (TAC) kepada pihak lain sekiranya tidak membuat sebarang transaksi di mana-mana perbankan internet.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, tindakan berwaspada itu boleh menyelamatkan wang daripada lesap ditipu sindiket.

Menurutnya, dalam kejadian terbaru 2 April lalu, seorang wanita nyaris diperdaya apabila dihubungi sindiket scam My Goal yang meminta nombor TAC, kononnya tersalah memasukkan nombor telefon mangsa.

"Mangsa yang bekerja sebagai pembantu tadbir tidak melayan pesanan diterima melalui WhatsApp itu menyebabkan ahli sindiket berkenaan menelefonnya, namun tetap tidak diendahkan.

"Sehari selepas itu, wanita berkenaan menerima pula pesanan WhatsApp dan sistem pesanan ringkas (SMS) dari nombor berlainan memberitahu mangsa ada membuat pembelian barangan atas talian berjumlah RM18,000.

"Semakan ke atas akaun kemudiannya mendapati ada berlaku dua transaksi berjumlah RM9,000 setiap satu bagi tujuan First Deposit GSP," katanya.

Beliau berkata, curiga dengan keadaan itu, wanita berkenaan tampil membuat laporan polis dan semakan lanjut mendapati terdapat dua akaun My Goal telah dicipta atas akaun simpanan mangsa berjumlah RM9,000 setiap akaun.

Katanya, dengan bantuan pegawai khidmat pelanggan bank berkenaan, mangsa berjaya mengeluarkan dua akaun terbabit dan wang berjumlah RM18,000 berjaya dimasukkan semula ke dalam akaun.

Artikel Berkaitan:

"Dalam kes ini, scammer cuba menggodam akaun perbankan internet mangsa dengan cara sembunyikan wang tersebut ke dalam satu produk yang ditawarkan pihak bank.

"Sekiranya berlaku situasi berkenaan, mangsa hanya perlu menghubungi pegawai khidmat pelanggan bank untuk membatalkan transaksi yang telah dibuat tanpa menyerahkan TAC serta maklumat bank seperti dimohon sindiket," katanya.

Ahmad Adnan berkata, bagi mengelak risiko digodam, orang awam tidak digalakkan menggunakan sistem perbankan menerusi wifi atau rangkaian internet yang boleh diakses ramai pihak.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!