JKNS siasat kes positif kakitangan Hospital Keningau
KOTA KINABALU - Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) sedang menyiasat kes positif Covid-19 melibatkan kakitangan di Hospital Keningau, kata Pengarahnya, Datuk Dr Christina Rundi.
Mengulas mesej tular berhubung perkara itu di aplikasi WhatsApp, Dr Christina berkata, punca jangkitan bagi kes terlibat masih dalam siasatan.
“Bagaimanapun siasatan awal mendapati jangkitan mungkin daripada kakitangan lain yang dijangkiti semasa menghadiri mesyuarat di luar daerah sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Justeru, Dr Christina berkata, orang awam diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan diskriminasi terhadap pesakit Covid-19 dan keluarga sehingga menyebabkan suasana panik dalam kalangan masyarakat di daerah terlibat.
Mengulas perkembangan Covid-19 di Sabah, Dr Christina berkata, terdapat dua kes baharu dilaporkan semalam, masing-masing di Papar dan Keningau menjadikan jumlah keseluruhan kes wabak itu bagi negeri ini ialah sebanyak 240 kes.
JKNS telah menjalankan saringan pemeriksaan ke atas 182,300 orang setakat semalam dengan sebanyak 10,054 sampel yang telah diambil.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!