Lapor polis pemilik akaun FB fitnah Menteri Besar Perak
IPOH - Satu laporan polis dibuat terhadap seorang pemilik akaun Facebook yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh itu antara lain menggesa siasatan lanjut dijalankan pihak berkuasa.
Pegawai Khas Kanan Menteri Besar Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh berkata, kenyataan itu dimuat naik pemilik akaun Facebook bernama Mohszin Mokhtar kira-kira jam 2.41 petang, Sabtu lalu.
Menurutnya, antara kandungan dinyatakan menyebut 'Kakak saya menjual rumah pada tahun 2017 dan wang berjumlah RM168,000 telah disonglap oleh seorang peguam bernama FR'.
"Pada hari berikutnya kira-kira jam 9.49 malam, akaun sama telah memuat naik satu lagi status antaranya 'Dengan jelas mengatakan yang MB (menteri besar) support dia (Firdaus) dan menyatakan yang mereka sedang uruskan projek bernilai RM20 juta di Teluk Intan. Hati kecil saya masih berharap yang Peja (Ahmad Faizal) tidak terlibat dalam skandal RM20 juta ini, kerana saya menghormati gaya pimpinannya, tetapi melihat kepada hubungan rapat Firdaus Rizal dan Mubin Saleh, seterusnya Mubin dan Peja..Saya berasa sangsi dan pasrah'," katanya kepada pemberita hari ini.
Mohd Hafez Mubin berkata, pihaknya meminta pihak polis menjalankan siasatan berhubung perkara berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!