Nasib gelandangan ibu kota terus dibela
KUALA LUMPUR - Keadaan gelandangan di ibu kota terus mendapat perhatian bagi memastikan kebajikan dan keselesaan mereka sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa 18 Mac lalu.
Terkini, gelandangan tersebut yang sebelum ini tidur beralas tilam yang dijarakkan antara satu meter diletakkan dalam khemah (kubik) untuk tujuan pengasingan dan privasi.
Usaha itu dikongsi sendiri Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa di Facebook dan Twitter dan mendapat pujian netizen yang berharap kumpulan itu terus dibantu selepas tamat PKP.
"Terbaik YB (Yang Berhormat). Mungkin perkara ini dapat diteruskan walaupun selepas PKP. Mungkin kerajaan boleh sediakan pekerjaan agar mereka dapat susun semula hidup mereka," tulis MohdSalihin_MJ di ruangan komen Twitter Ahli Parlimen Ketereh itu.
Kefei Roslan antara netizen yang memberikan pendapat supaya gelandangan itu diberikan peluang pekerjaan.
"Kalau mereka semua ini diberi pekerjaan, kita dapat kurangkan isu gelandangan," tulisnya.
Sementara Ahmad Arcana berkata, ada dalam kalangan mereka mempunyai pekerjaan tetapi tergolong dalam miskin bandar.
"Pandangan saya berbeza, gelandangan ini ramai yang ada kerja tapi tak cukup tampung hidup, miskin bandar," katanya.
Sebelum ini gelandangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menempatkan gelandangan di empat lokasi iaitu Pusat Komuniti Sentul Perdana, Dewan Serbaguna Tasik Ampang Hilir, Pusat Komuniti Setiawangsa dan Dewan Serbaguna Alam Damai selain kemudahan tempat tidur, keperluan asas dan penyediaan makan dan minum
Ada dalam kalangan mereka yang hanya hidup sehelai sepinggang tetapi masalah itu diselesaikan dengan meminta sumbangan daripada orang ramai dan turut menerima 500 selimut ketika lawatan Annuar dua hari lalu.
Sehingga kini lebih 500 gelandangan telah diselamatkan dalam Ops Gelandangan dan ditempatkan di penempatan sementara gelandangan selain di Pusat Transit Gelandangan Jalan Pahang dan Anjung Singgah Jalan Hang Lekiu.
Operasi melibatkan pelbagai agensi termasuk DBKL, polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Kesihatan di beberapa lokasi antaranya Masjid Negara, Kotaraya, Pasar Seni, KL Sentral, Masjid Jamek, Dataran Merdeka dan lain-lain.
Mereka yang diselamatkan akan menjalani saringan kesihatan KKM sebelum ditempatkan di pusat penempatan sementara.
ARTIKEL BERKAITAN: 510 gelandangan diselamatkan bendung Covid-19
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!