Pesara mangsa Macau Scam rugi RM37,000
KUANTAN - Seorang pesara kerugian RM37,000 akibat diperdaya sindiket penipuan yang menyamar pegawai polis.
Wanita berusia 66 tahun itu mendakwa, dia diminta membuat bayaran bagi membatalkan perintah mahkamah yang dikeluarkan ke atasnya kerana dikaitkan dengan kes perjudian internet dan pengubahan wang haram.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd Wazir Mohd Yusuf berkata, mangsa akur dengan arahan itu bagi mengelak ditangkap tanpa menyedari perangkap 'scammer'.
Menurutnya, penipuan ke atas warga emas itu bermula selepas dia menerima panggilan kononnya dari operator sebuah syarikat telekomunikasi pada 30 Mac lalu memaklumkan talian telefon rumahnya telah digunakan sindiket perjudian atas talian.
"Bagi meyakinkan mangsa, talian disambung kepada seorang pegawai polis wanita untuk semakan.
"Sindiket penipuan ini menggunakan modus operandi sama apabila turut mengaitkan mangsa dengan kes pengubahan wang haram dan dalam proses tindakan pihak mahkamah," katanya.
Mohd Wazir berkata, mangsa kemudian dimaklumkan kononnya perintah mahkamah untuk menangkapnya sudah dikeluarkan dan dia diberi pilihan sama ada membatalkan perintah dengan bayaran tertentu atau ditangkap.
"Kes mangsa dirujuk kepada pegawai polis lain untuk tujuan penyelesaian dan mangsa setuju membuat bayaran bagi membatalkan perintah mahkamah itu.
"Mangsa membuat tiga kali pembayaran melalui dua akaun bank atas nama individu berbeza dalam tempoh tiga hari bermula 30 Mac hingga 1 April lalu dengan jumlah keseluruhan RM37,000," katanya.
Mohd Wazir berkata, selepas membuat bayaran seperti diarahkan, mangsa menyedari dia telah ditipu lalu tampil membuat laporan polis di sini semalam.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan masih dijalankan bagi mengesan dua pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes itu bagi membantu siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!