Rakyat Colombia kibar kain merah minta bantuan
BOGOTA (Colombia) - Di sesetengah kawasan kejiranan di Bogota dan di pinggir ibu kota, ada keluarga yang kekurangan makanan terpaksa meletakkan kain merah di pintu dan tingkap rumah untuk meminta pertolongan, lapor agensi berita Anadolu.
Kira-kira 50 peratus penduduk di Colombia bekerja di sektor tidak formal dengan simpanan yang sedikit untuk berdepan krisis seperti Covid-19, kuarantin mandatori yang dikuat kuasa kerajaan menyebabkan jutaan penduduk berdepan situasi teruk antara risiko jangkitan, kelaparan atau tiada tempat tinggal.
Di sebalik langkah-langkah pencegahan dikuatkuasakan antara lain, kawalan pergerakan, perniagaan ditutup dan sekatan perjalanan, namun ribuan penduduk Bogota mengabaikan perintah itu, terus bekerja seperti biasa dan berulang-alik di seluruh bandar.
Kepada mereka yang tidak menerima subsidi kerajaan atau apa-apa bantuan, itu satu-satunya cara mendapatkan beberapa peso untuk membeli makanan.
Menurut Juan Carlos Saldarriaga, Datuk Bandar Soacha, sebuah bandar dekat Bogota, tindakan mengibarkan kain merah 'mencetuskan perpaduan dalam kalangan penduduk'.
Saldarriaga berkata, mengibarkan kain merah membantu kerajaan tempatan mengetahui siapa yang 'memerlukan bantuan segera'.
Walaupun ramai penduduk di Soacha telah menerima pakej makanan yang diagihkan kerajaan dan Palang Merah, masih ramai lagi yang memerlukan bantuan.
Colombia mencatatkan 1,485 kes Covid-19 dengan 35 kematian. Pengasingan mandatori dikuatkuasa 13 April, seperti diumumkan Presiden Ivan Duque.
Menurut Johns Hopkins University, jumlah orang yang disahkan Covid-19 melebihi 1.3 juta di seluruh dunia dan 74,476 pesakit meninggal dunia. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Colombia lanjut kuarantin mandatori sehingga 26 April
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!