97 Pasar Segar Terkawal dibuka seluruh negara
PETALING JAYA - Sebanyak 97 lokasi Pasar Segar Terkawal (PST) diwujudkan di seluruh negara bagi menyediakan keperluan ke arah mensejahterakan rakyat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) diperuntukkan untuk membuka 63 lokasi PST manakala Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) sebanyak 34 lokasi PST di seluruh negara.
Menurutnya, keseluruhan 97 lokasi PST berkenaan melibatkan jualan barangan segar seperti sayur-sayuran, buah-buahan, ayam, ikan, daging, barangan runcit dan barangan asas tani.
"Sehingga 6 April, sebanyak 42 outlet PST FAMA di seluruh Malaysia telah beroperasi dan dua PST secara terbuka akan beroperasi di PST Jasin, Melaka pada 8 April dan PST Masjid Tanah, Melaka pada 12 April ini.
"Sebanyak 21 outlet PST sedang dalam proses kelulusan pihak berkuasa tempatan dan Majlis Keselamatan Negeri untuk beroperasi. Ini berikutan lokasi-lokasi PST tersebut terletak di dalam zon merah dan zon kuning," katanya ketika melawat ke Pusat Operasi FAMA Puchong di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) FAMA, Datuk Abdul Ghariff Ramin.
Mengulas lanjut beliau berkata, dalam pematuhan pencegahan wabak koronavirus (Covid-19) di 97 lokasi itu, penjarakan sosial di antara gerai-gerai yang berniaga akan dilakukan dan pintu masuk dan keluar dikawal selia pihak polis dan angkatan tentera.
Menurutnya, kempen-kempen kesedaran mengenai 12 Langkah Pencegahan wabak Covid-19 untuk para pengunjung dan usahawan juga diperbanyakkan dengan adanya bahan infografik mengenai perkara tersebut di outlet-outlet pemasaran terpilih.
Selain itu, FAMA turut memfokuskan pengedaran bekalan makanan berkesan di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dengan perkemaskan lagi konsep jualan secara online melalui portal Agrobazaar Online dan offline melalui rangkaian outlet-outlet pemasaran terpilih.
"Di antara 63 PST yang dikendalikan oleh FAMA, 17 daripadanya adalah Pusat Operasi FAMA di seluruh Malaysia," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap petani yang mempunyai masalah untuk memasarkan hasil pertanian mereka boleh menghubungi Pusat Operasi FAMA di 17 lokasi tersebut di seluruh Malaysia.
Para pelanggan digalakkan untuk melayari portal Agrobazaar Online (www.agrobazaar.com.my) untuk membuat pesanan awal atau WhatsApp secara pra pesanan dan membuat bayaran terus secara ontline bagi memudahkan urusan pengambilan di 'pick-up point' dan urusan pandu lalu (drive-thru) di outlet-outlet pemasaran terpilih.
"Hal ini bagi menjaga 'social distance' yang telah dinasihatkan oleh pihak Kementerian Kesihatan bagi mencegah penularan wabak Covid-19," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!