Tidak perlu campur tangan politik agih bantuan kerajaan
![Aminolhuda Hassan](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2020/04/07/674763.jpg)
JOHOR BAHRU - Campur tangan politik dalam penyampaian bantuan kerajaan kepada rakyat ketika ini harus dihentikan kerana bukan sahaja mengganggu, malah merencatkan agihan dan dibimbangi tidak sampai kepada golongan sasar.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Aminolhuda Hassan berkata, sepatutnya pada masa ini perbuatan tidak bertanggungjawab itu tidak berlaku dan semua pihak harus mengutamakan rakyat serta bukan mengambil kesempatan untuk keuntungan politik.
"Hampir semua ahli Parlimen PH telah dimaklumkan bahawa 1,000 unit bungkusan bantuan makanan bernilai RM100 akan disediakan untuk setiap kawasan Parlimen.
"Bagaimanapun, kami juga dimaklumkan ada campur tangan parti politik tertentu di mana senarai penerima bantuan daripada Ahli Parlimen PH disisihkan dalam agihan bungkusan makanan kepada sasaran.
"Ahli Parlimen PH dengan bantuan pihak berkuasa sedia mengedarkan bungkusan makanan tersebut kepada orang ramai," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Justeru, beliau mendesak kementerian terbabit mengambil pendirian tegas supaya semua 1,000 unit bungkusan bantuan diagih mengikut garis panduan dan keterlibatan ahli Parlimen di kawasan masing-masing.
Katanya, pengagihan mengikut penyokong parti politik perlu dielakkan dalam suasana rakyat terbeban dengan kekurangan kewangan dan makanan kerana Perintah kawalan Pergerakan (PKP).
Perbuatan itu katanya, tidak akan memberi manfaat kepada mana-mana pihak sekiranya kerajaan mengambil langkah menyisihkan senarai nama yang dikemukakan ahli Parlimen PH.
"Malah ini menjejaskan usaha PKP seluruh negara untuk melawan wabak Covid-19 apabila agihan dilihat tidak adil," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!