Pemandu lori didakwa ingkar PKP
SEREMBAN – Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Masjistet Seremban hari ini atas pertuduhan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan wabak koronavirus (Covid-19).
M Parthiban, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Norzaliza Tesmin.
Tertuduh didakwa mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 7 Peraturan-Peraturan sama.
Kesalahan itu dilakukan di hadapan Kim Fatt Mini Market, Jalan Lobak di sini pada jam 11 malam, 3 April 2020.
Mahkamah menetapkan jaminan RM1,500 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes 14 Mei depan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norhafiza Haron dan tertuduh tidak diwakili peguam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!