Berdebar setiap kali tangkap ular
SEREMBAN - Tugas menangkap ular berbisa bukan suatu yang mudah kerana jika tersilap langkah, pasti buruk padahnya.
Namun, itu antara tugas dilakukan Raihana Jamal, 26, dan Nasuha Raihana Razali, 22, yang berkhidmat sebagai anggota sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Sembilan.
Meskipun sudah beratus kali berdepan dengan reptilia itu, namun mereka mengakui yang debarannya tetap ada setiap kali terlibat dalam operasi.
Pada masa sama, mereka turut berbangga kerana sebagai wanita mereka berani tampil mengendalikan haiwan berkenaan.
Berkongsi cerita dengan Sinar Harian, Raihana yang sudah tujuh tahun berkhidmat dengan APM berkata, menangkap ular bukan sahaja perlukan keberanian tetapi juga keyakinan diri.
“Kita jangan panik dan perlu tenang. Dah lebih 100 kali tangkap ular, rasa takut itu dah hilang, cuma debarannya tetap ada terutamanya jika ular yang ingin ditangkap tak jumpa.
“Bila macam itu, ia akan jadi lebih berisiko. Lagipun kita tak tahu spesis sebenar ular itu,” katanya.
Raihana berkata, ular paling besar yang pernah ditangkapnya ialah ular sawa sebesar paha manusia sepanjang lima meter.
Ditanya kenapa memilih berkhidmat sebagai anggota APM, anak kelahiran Negeri Sembilan ini berkata, ayahnya yang juga merupakan bekas sukarelawan pasukan penyelamat itu yang banyak memberi galakan.
“Selepas habis sekolah saya tak dapat mana-mana peluang pekerjaan, jadi saya sertai APM sebagai sukarelawan. Lagipun saya memang suka kerjaya badan beruniform dan mencabar.
“Selepas sertai APM, saya belajar tugas menyelamat dan paling mengujakan apabila saya juga perlu sertai kursus asas mengendalikan haiwan berbisa termasuk ular yang saya rasa sukar dapat di tempat lain,” katanya.
Ilmu yang diperoleh sangat bermakna buat Raihana apabila dia beberapa kali memberanikan diri menangkap ular yang masuk ke rumahnya.
Minat haiwan eksotik
Lain pula cerita Nasuha Raihana yang sememangnya meminati haiwan eksotik dan pernah memelihara ular dan kala jengking di kampung halamannya di Terengganu.
Katanya, berkhidmat di APM membolehkannya belajar dan mengenali pelbagai spesis ular dengan lebih mendalam.
“Ular yang biasa saya main ular jinak. Tapi berbeza ketika terlibat dalam operasi tangkap ular kerana semuanya liar dan agresif.
“Dalam tempoh lebih setahun berkhidmat, ular paling besar yang saya tangkap ialah ular tedung. Ada kalanya perasaan takut itu datang, tapi bagi saya ia pengalaman yang menyeronokkan,” katanya.
Menurutnya, ia sedikit sebanyak menguji keberaniannya kerana perlu berhadapan dengan pelbagai spesis ular.
Tangkapan ular dijangka meningkat
Sementara itu, Pegawai APM Daerah Seremban, Md Fadir Md Nor berkata, pihaknya menjangkakan dalam tempoh Januari hingga April ini, kes tangkap ular akan meningkat berikutan peralihan musim.
“Hujung tahun musim hujan dan sekarang menuju ke musim panas. Bila musim panas ini selalunya ular ini akan mencari tempat sejuk atau redup untuk bersembunyi misalnya ruang dapur, bilik air atau stor.
“Statistik tahun lalu menunjukkan sebanyak 1,853 kes ular diterima di daerah Seremban yang mana purata kes setiap bulan ialah 100 ke 140 kes. Spesis ular yang paling banyak ditangkap ialah ular sawa, tedung dan rusuk kerbau,” katanya.
Menurutnya, setiap kali operasi menangkap ular, tiga anggotanya yang terlatih akan dipertanggungjawabkan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!