Pasca PKP untuk gelandangan dalam tindakan: Annuar

Penyediaan khemah bagi pengasingan gelandangan di Pusat Komuniti Sentul Perdana l.
Penyediaan khemah bagi pengasingan gelandangan di Pusat Komuniti Sentul Perdana l.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bantuan kepada gelandangan yang diselamatkan akan diteruskan pada pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, terdapat kaunselor ditempatkan di pusat penempatan gelandangan sementara bagi sesi kaunseling dan motivasi.

Menurutnya, data semua gelandangan itu diambil untuk menyalurkan bantuan bersesuaian selepas berakhirnya PKP.

"Kita dah ada perancangan pasca PKP yang akan diumumkan kemudian, membabitkan bantuan berbentuk jangka masa panjang dengan membawa kumpulan ini masuk ke dalam masyarakat.

"Ia termasuk mengatur peluang pekerjaan mengikut keupayaan dan kesesuaian. Kita akan sediakan latihan asas yang akan diberikan secara berperingkat," katanya pada Facebook Live Kementerian Wilayah Persekutuan hari ini.

Dalam pada itu, beliau juga memuji komitmen sukarelawan dan petugas agensi terlibat yang berperanan menguruskan penempatan gelandangan yang diselamatkan sejak 26 Mac lalu.

Annuar
Annuar

"Tugas yang semakin bertambah menjadi ringan dengan adanya kerjasama dan muafakat antara agensi.

Artikel Berkaitan:

"Kita turut mengalu-alukan badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat korporat untuk sama-sama membantu menyumbang khususnya bekalan makanan bagi membantu golongan memerlukan ini," katanya.

Dalam perkembangan sama beliau turut mengulas keadaan Masjid India yang kini diletakkan di bawah zon merah dengan tiga bangunan diisytihar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Beliau meminta penghuni di tiga bangunan itu terdiri Menara City One, Selangor Mansion dan Malayan Mansion untuk memberikan kerjasama kepada petugas termasuk dari Kementerian Kesihatan (KKM) dalam usaha membendung koronavirus (Covid-19).

"Ada kes yang lari dari kediaman. Saya minta supaya tak berbuat demikian kerana PKPD adalah kaedah bagi pastikan kawasan ini selamat dengan tak bergerak keluar, elak bawa jangkitan itu merebak ke kawasan lebih luas.

"Kami anggarkan perlukan lebih 10,000 stok makanan untuk diedarkan kepada penduduk di tiga kawasan ini yang 95 peratus adalah warga asing dari Pakistan, India dan Bangladesh. Bantuan NGO dan syarikat korporat adalah dialu-alukan.

"Selain itu, kita akan hubungi kedutaan ketiga-tiga negara itu untuk langkah seterusnya dan bentuk kerjasama yang perlu sepanjang PKPD itu dilaksanakan," katanya.

Beliau turut memaklumkan yang kerja disinfeksi secara besar-besaran akan dijalankan di Masjid India esok dan meminta semua premis perniagaan ditutup bagi melancarkan operasinyah kuman itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!