Kerajaan wajar tangani isu kebankrapan

A
A
A

Pada hari Isnin yang lepas, kerajaan mengumumkan beberapa langkah tambahan bagi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bernilai RM10 billion. Langkah tambahan ini diharapkan dapat membantu meringankan beban kewangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan seterusnya menjamin pekerjaan kepada dua pertiga daripada pekerja seluruh negara.

Antara penambahbaikan yang diumumkan adalah kenaikan peruntukan bagi program subsidi upah dari RM5.9 billion kepada RM13.8 billion bagi memastikan majikan untuk terus mengaji pekerja-pekerja mereka dan Geran Khas Prihatin berjumlah RM2.1 billion bagi semua syarikat PKS yang berkelayakan.

Langkah-langkah tambahan ini boleh dirumuskan sebagai hasrat Kerajaan untuk melihat sektor swasta dalam negara khususnya PKS untuk terus beroperasi dan mengekalkan pekerja mereka selama mana yang boleh dan menyerap impak Covid-19.

Namun perlu diakui impak Covid-19 kepada ekonomi negara adalah berbeza. Ia bukan kitaran ekonomi ‘boom and bust’ yang biasa. Perniagaan dan perdagangan akan berubah kerana pola kepenggunaan rakyat akan berubah.

Perniagaan dan perkhidmatan di atas talian akan bercambah seperti cendawan selepas hujan dan kewaspadaan rakyat pada persekitaran akan meningkat demi untuk tidak dijangkiti kelak.

Beberapa sektor akan menerima impak yang lebih panjang seperti perkhidmatan penerbangan dan servis udara, pelancongan, automotf, pembinaan dan hartanah serta pengilangan. Jangan hanya melihat kepada pemain-pemain besar dalam sektor-sektor ini sahaja kerana pemain-pemain sokongan dalam rantaian pembekalan mereka juga akan terjejas teruk.

Pada kebiasaannya, pemain-pemain utama berkeupayaan dari segi modal, kepakaran, dan masa untuk mengharungi cabaran ini. Namun mereka yang kecil kebanyakannya bergantung kepada satu dan dua pelanggan besar sahaja. Mereka tidak sempat untuk membesarkan saiz pelanggan dan mempelbagaikan perniagaan lalu terdedah kepada risiko yang besar.

Struktur

Artikel Berkaitan:

Bantuan kerajaan juga tidak boleh berterusan tanpa had. Sebahagian besar Pakej Prihatin adalah bersifat ‘penangguhan’ dan one-off bagi memastikan kedudukan kewangan negara tidak terlalu ditekan untuk masa hadapan.

Oleh yang demikian, tidak mustahil ada kes-kes kebankrapan berlaku terutamanya dalam kalangan PKS selepas ini. Jika selama ini mereka mudah mendapat pembiayaan dari Bank-Bank Komersil dan berkemampuan untuk membayar kembali kerana ada pelanggan, selepas ini mungkin tiada langsung kerana tiada pendapatan dan operasi perniagaan harus dihentikan.

Jika dahulu pembiayaan tambahan boleh diberikan, hutang boleh distrukturkan semula dan jaminan boleh dipanjangkan, selepas ini pemilik perniagaan menghadapi notis kebankrapan dan pencairan aset oleh pihak Bank.

Justeru, Kerajaan harus memberi tumpuan juga kepada perlindungan kepada perniagaan dan sistem kewangan negara kepada impak kebankrapan sekarang dan pasca Covid-19 antaranya melalui kaedah di bawah:

Pertama, Kerajaan boleh memanipulasi undang-undang sedia ada dan mengurangkan kadar kebankrapan perniagaan melalui institusi Kerajaan seperti Bank Negara Malaysia (BNM) dan instrumen kewangan.

Kedua, Kerajaan boleh meminda undang-undang sedia ada atau membentangkan Rang Undang-Undang Kebankrapan yang baru untuk menginstitusikan perlindungan yang moden dan berasaskan norma negara maju.

Kedua-duanya punya merit dan kesesuaian masa pelaksanaannya yang tersendiri dan yang penting Kerajaan harus mengambilkira keadaan semasa negara.

Sejak tahun 2009, ekonomi Malaysia telah dipelbagaikan dan permintaan domestik menjadi pemacu utama ekonomi. Manakala kredit atau hutang adalah pelincir kepada peningkatan permintaan domestik. Selain dari rakyat biasa, syarikat dan pengusaha perniagaan juga adalah kaedah untuk kredit diagihkan ke segenap sudut ekonomi negara.

Secara mudahnya jika banyak syarikat khususnya PKS bankrap dan berhenti beroperasi, pergerakan kredit (credit flow) akan terjejas dan sekaligus mempengaruhi pergerakan ekonomi. Kadar pinjaman tidak berbayar (Non-Performing Loan) juga meningkat sudah pasti akan menekan Bank-Bank Komersil tempatan.

Kerajaan boleh mempertimbangkan untuk BNM mengambil alih NPL ini dari Bank-Bank Komersil dan distruktur semula agar agar pengusaha boleh membayar semula terus kepada BNM tanpa menjejaskan rekod kredit mereka untuk bangkit semula dengan aliran kredit yang baharu dari Bank-Bank Komersil tempatan.

Tuntas, Kerajaan digesa untuk bersedia menghadapi kemungkinan dari risiko ini. Lebih baik bersedia awal agar ekonomi negara selamat dan pengusaha-pengusaha PKS khususnya Melayu Bumiputera dapat dimajukan semula.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!