Johor terus terima kunjungan rakyat Singapura
JOHOR BAHRU - Johor terus menerima kunjungan pelancong dari Singapura berdasarkan bukti aliran trafik di dua pintu masuk di negeri ini.
Exco Pembangunan Wanita dan Pelancongan, Liow Cai Tung berkata, Johor juga terus mengalu-alukan hubungan akrab antara rakyat negeri ini dan warga Singapura.
"Saya sangat berharap agar rakan kita di Singapura dapat dan turut berusaha untuk terus menggalakkan hubungan dua hala yang baik," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan kononnya pelancong Singapura membatalkan hasrat berbelanja di Johor kerana ketegangan hubungan antara Malaysia-Singapura melibatkan beberapa isu bilateral, baru-baru ini.
Cai Tung berkata, Malaysia dan Singapura mempunyai hubungan rakyat dengan rakyat yang kuat sejak sekian lama.
"Kita hidup secara harmoni. Kita berkongsi warisan budaya, sosial dan ikatan kekeluargaan yang serupa.
"Saya tidak melihat perbincangan antara dua negara akan menjejaskan hubungan rakyat biasa yang juga jiran baik," katanya.
Beliau berkata, malah bazar sempena perayaan Tahun Baharu Cina sekitar Johor Bahru juga sentiasa menjadi tarikan kepada warga tempatan dan Singapura.
"Ini kerana terdapatnya pelbagai jenis produk seperti biskut perayaan, hiasan dan hadiah selain harganya yang murah.
"Selain itu, ramai juga yang ke Johor untuk menikmati makanan yang enak terdapat di sini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!