Zaidatul korbankan cinta trek demi PKP
PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula bulan lepas menyaksikan sudah tiga minggu ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli mengorbankan cintanya terhadap trek balapan dan aktiviti berlari demi mematuhi arahan duduk di rumah.
Pemenang pingat perak 100m wanita Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu kini menjalani kehidupan seharian yang agak janggal bagi seorang atlet pecut apabila hanya melakukan latihan fizikal tanpa sebarang latihan pecut yang khusus.
Perubahan serta-merta susulan penularan Covid-19 itu mampu memberi kesan buruk kepada perkembangan prestasi pelari berusia 26 tahun itu meskipun beliau mendisiplinkan diri mengikut program latihan kecergasan fizikal disediakan jurulatih sepanjang tempoh PKP di rumah.
“Saya sedang pulih daripada kecederaan ringan di lutut kanan, selain dari hanya makan dan tidur, fokus saya setiap hari sejak PKP adalah menguatkan daya otot bahagian atas badan dengan latihan disediakan jurulatih.
“Sebelum ni dalam seminggu, tiga atau empat hari kami akan berlatih berlari di balapan bersama yang lain (rakan sepelatih). Berlatih sendiri kurang bersemangat, apatah lagi bila tak berlari langsung, rasa macam penyakit malas tu datang kerana asyik benda (rutin) sama setiap hari,” katanya kepada Bernama hari ini.
Ternyata rutin latihan berulang kali menimbulkan rasa bosan kepada atlet termasuk Zaidatul.
Namun, beliau bijak mencipta kelainan apabila menggunakan aplikasi TikTok dalam usahanya memperbanyakkan pergerakan tubuh badan dengan mempelbagaikan kaedah latihan mengikut kesesuaian dan keperluan sukannya.
“Daripada tidak main TikTok, sekarang main untuk bantu lebihkan pergerakan badan dan buat rasa penat sama seperti bersukan tapi dalam suasana berbeza. Ia lebih baik berbanding kita duduk diam menonton televisyen,” jelasnya.
Atlet kelahiran Pulau Pinang itu yang mencatat kepantasan peribadi terbaik 11.65 saat (s) pada 2019 mengakui tidak banyak aktiviti boleh dilakukan bagi memenuhi keinginan untuk berlari terutama setiap kali bau seakan ‘aroma’ trek balapan menerjah deria baunya.
Malah beliau turut tidak berpeluang melepaskan kerinduan meninjau trek balapan memandangkan kedudukan kediamannya yang terletak jauh dari pusat bandar Alor Setar selain penguatkuasaan PKP.
“Kalau kita dalam kondisi terbaik, bau trek boleh cetuskan semangat berlatih. Walaupun rindu bau itu, saya tidak curi-curi keluar ke trek lagi pun rumah saya di kawasan pedalaman, jauh dari Alor Setar,” katanya.
Zaidatul sebelum ini hampir memadam rekod 100m wanita kebangsaan 11.50s dilakar G Shanti pada 1993, namun masa 11.36s dicatatnya pada Kejohanan Olahraga AGN League 7 di Pretoria, Afrika Selatan pada 2017 tidak diiktiraf Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) kerana mendapat bantuan angin 2.5 saat.
Dengan pelaksanaan PKP memasuki hari ke-21 hari ini, Zaidatul berharap graf kes jangkitan Covid-19 akan terus menurun dari semasa ke semasa supaya beliau dapat kembali menyarung ‘spike’ dan turun berlari semula.
Beliau berazam untuk memperbaharui catatan terbaiknya musim 2019 selain berusaha kembali berada pada tahap terbaik menjelang Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam dan temasya Sukan Asia 2022 di China.
“Kalau dulu takut dengan jadual latihan, sekarang rindu nak dengar jurulatih cakap ada latihan yang berat menanti kami semua. Rindu nak rasa bahang program berintensiti tinggi keesokan harinya. Rindu nak pakai spike dan berlatih dengan kawan-kawan.
“Saya harap keadaan akan cepat kembali normal untuk membolehkan saya berlatih dan memperbaiki kelemahan untuk jadi lebih baik dari tahun lepas. Saya ada sasaran untuk memperbaharui rekod peribadi saya sendiri,” katanya.
Zaidatul gagal mempertahankan gelaran ratu pecut Asia Tenggara diraihnya pada Sukan SEA 2017 apabila Zaidatul sekadar menduduki tempat keenam keseluruhan acara 100m wanita Sukan Sea 2019 di Filipina. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!