Musim Covid-19 banyak muncul orang baik-baik

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

Hari ini genap 22 hari rakyat Malaysia berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Semua orang tahu, tempoh yang panjang ini bukanlah satu waktu yang mudah bagi banyak orang.

Walaupun misi utama kita adalah untuk menghapuskan Covid-19, namun kisah-kisah kehidupan di celah-celah tempoh PKP adakalanya terlalu sukar untuk digambarkan.

Saat di depan mata Merak Jalanan sendiri seorang penjual nasi kukus memberitahu beliau hanya mempunyai RM5 di dalam dompetnya, ia bagaikan satu batu berat menghempap hati, apatah lagi memikirkan isteri dan anaknya di rumah.

Apabila kisah duka itu dipanjangkan sesama rakan di pejabat, sekelip mata sahaja sudah terkumpul RM600 untuk disumbangkan kepadanya.

Ini hanyalah secebis kisah bagaimana sebenarnya Covid-19 sedang menguji kita semua.

Bukan hanya ujian untuk orang miskin kerana tidak dapat lagi mencari rezeki, bahkan ujian buat orang yang berkemampuan, sama ada waktu ini sukar menjentik rasa kemanusiaan.

Namun, Merak Jalanan sangat memuji rakyat Malaysia kerana dari istana sehinggalah kepada rakyat biasa, ramai yang tampil menyumbang tenaga, wang ringgit dan masa.

Lihat sahaja tabung-tabung bantuan Covid-19, baik yang dikumpulkan oleh kerajaan, syarikat korporat, syarikat media mahukan pertubuhan bukan kerajaan, semuanya mendapat sambutan luar biasa.

Artikel Berkaitan:

Tidak ketinggalan ramai juga rakyat Malaysia yang selesa bergerak sendiri.

Ada artis yang membuka 'kedai runcit' percuma di rumah untuk membantu orang susah. Ada juga orang awam yang membelikan nasi dan air untuk abang polis serta askar di balai atau di sekatan jalan raya. Ada rider yang memberi makan gelandangan. Malah, ramai pembaca yang mahukan nombor akaun bank keluarga susah disiarkan akhbar seperti tiga beranak yang makan nasi berlaukkan gula.

Selain sumbangan makanan dan wang ringgit, rakyat Malaysia yang berkemahiran turut tampil menjahit keperluan Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) untuk para frontliners. Daripada pereka-pereka fesyen ternama sehinggalah ke Jabatan Kemajuan Masyarakat dan pelajar universiti, ramai yang bersekang mata menjahit keperluan PPE untuk hospital.

Tidak ketinggalan, PPE turut disumbangkan dari celah-celah tirai besi apabila banduan dari 12 penjara di seluruh negara turut menjahit PPE sejak beberapa minggu lalu. Tidak kisahlah siapa kita, apa dan berapa besar bantuan kita, pada waktu sukar ini marilah kita sama-sama saling membantu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!