Covid-19 musibah yang melangkaui agama, bangsa
SHAH ALLAM - Penularan wabak koronavirus (Covid-19) tidak wajar dianggap sebagai bala daripada ALLAH SWT sebaliknya ia disifatkan sebagai satu musibah yang melangkaui agama dan bangsa, kata Pendakwah, Azman Shah Alias atau dikenali sebagai PU Azman.
Beliau berkata, manusia tidak mempunyai hak untuk melabelkan apa yang sedang berlaku ini sebagai azab tetapi mengambilnya sebagai iktibar untuk bermuhasabah diri masing-masing.
Menurutnya, musibah itu sendiri adalah hukum alam dan sudah menjadi ketentuan ALLAH SWT.
"Seorang ulama maqasid dunia, pernah berkata apabila kita mengkhususkan musibah yang berlaku ini merupakan azab kepada puak-puak tertentu, maka ini merupakan satu sikap memandai-mandai terhadap kerja Tuhan.
"Dulu mungkin kita katakan virus ini muncul kerana satu pihak yang menghentam umat Islam. Tapi akhirnya perkembangan virus ini melanda satu dunia tak kira umat Islam atau apa agama dan bangsa.
"Maknanya manusia itu diuji tidak kira apapun agama dan kepercayaannya, tak kira di mana dia duduk. Bahkan firaun sejahat-jahat manusia diberikan musibah di laut merah, begitu juga dengan Rasulullah SAW sebaik-baik manusia turut diuji dalam perjalanan dakwahnya," katanya.
Beliau berkata demikian selaku panelis Wacana Siri 163 bertajuk Pandemik Covid-19: Antara Sains dan Amarah ALLAH yang disiarkan secara langsung di laman web Sinar Harian malam ini.
Dalam masa sama, PU Azman turut mengulas kebimbangan umat Islam mengenai ibadah yang terjejas disebabkan pandemik.
Menurutnya, perubahan hukum adalah berdasarkan faktor tertentu justeru masyarakat Islam perlu memahaminya.
"Hukum hakam berubah merujuk kepada perubahan individu terlibat, waktu terlibat, situasi yang terlibat dan juga tempat yang terlibat.
"Contoh paling mudah ialah solat jamak yang berlaku dalam hidup kita. Jadi dalam hal ini kita boleh menerima perubahan, apatah lagi dalam hal lebih besar seperti isu pandemik yang melibatkan nyawa seumpamanya.
"Kebimbangan tak solat Jumaat lebih tiga kali tanda keimanan tapi ia perlu ditambah dengan ilmu dan kefahaman kepada agama, jadi seseorang itu tidak akan gelabah dan tidak akan bersangka buruk dengan ulama yang mengeluarkan fatwa dan pemerintah yang membuat keputusan ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!