“Setitik minyak pun tak dok”

Amelia berada di sisi Nik Mohd Firdaus yang hanya terlantar akibat penyakit saraf dihidapi anaknya itu sejak tiga tahun lalu.
Amelia berada di sisi Nik Mohd Firdaus yang hanya terlantar akibat penyakit saraf dihidapi anaknya itu sejak tiga tahun lalu.
A
A
A

KOTA BHARU - “Setitik minyak (petrol) pun tak dok (tiada)." Itu keluhan seorang ibu tiga anak dari Kampung Tok Ku Sering, Kedai Lalat di sini yang menyara kehidupan dengan upah mengutip barangan terbuang di tempat pembuangan sampah.

Bagaimanapun, punca pendapatan utama keluarga Amelia Abdullah, 47, didakwa terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan ketika ini.

“Biasanya kalau bekerja, saya akan dapat lebih kurang RM15 sehari tapi sekarang sudah tiga minggu saya tak keluar untuk kutip botol kaca, bekas plastik dan besi di tempat buang sampah untuk dihantar ke pusat kitar semula.

“Sebab PKP yang dilaksanakan sekarang ni saya tidak dapat keluar dari rumah kerana takut dengan polis, takut kena tangkap selain risau dijangkiti Covid-19,” katanya ketika kunjungan anak muda Mukim Tok Ku diwakili Nik Abdul Aziz Nik Din, 35, yang menyampaikan sumbangan makanan.

Nik Abdul Aziz (dua, kanan) menyampaikan bantuan makanan berbentuk beras, biskut dan gula kepada keluarga Amelia.
Nik Abdul Aziz (dua, kanan) menyampaikan bantuan makanan berbentuk beras, biskut dan gula kepada keluarga Amelia.

Berikutan itu juga wanita tersebut langsung tidak mempunyai wang untuk menampung perbelanjaan harian mereka apatah lagi untuk mengisi minyak petrol motosikal roda tiga yang digunakan untuk mengutip barangan terbuang itu.

“Enjin motosikal pun sudah dua, tiga hari tidak dapat dihidupkan kerana duit RM2 pun saya tidak ada, macam mana nak isi minyak, setitik minyak pun tak ada.

“Sama dengan lauk pauk, sekarang hanya ada dua ekor ikan selayang yang direbus untuk makan malam nanti selainnya saya masak lempeng dan catu ikan rebus tu bolehlah makan dua, tiga hari dengan nasi putih,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Lebih menyayat hati keadaan keluarga itu apabila dia dan suaminya Nik Yusri Nik Abu Bakar, 48, turut menjaga anak mereka yang lumpuh akibat penyakit saraf sejak tiga tahun lalu.

Anak ketiga pasangan itu Nik Mohd Firdaus Nik Yusri, 20, memerlukan perbelanjaan ubat-ubatan dan lampin pakai buang lebih RM100 setiap bulan.

“Suami saya hidap penyakit diabetis tetapi dialah yang menjaga Nik Mohd Firdaus masa saya keluar bekerja kerana anak memerlukan pemerhatian dan penjagaan sepenuh masa sebab tak dapat uruskan diri sendiri.

“Nik Mohd Firdaus mendapat bantuan katil daripada Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) dan bantuan pesakit terlantar daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM350 tetapi tidak mencukupi menyebabkan saya perlu keluar bekerja mengutip sampah,” katanya.

Barangan yang dikutip di tempat pembuangan sampah seperti botol-botol plastik dihantar untuk dikitar semula.
Barangan yang dikutip di tempat pembuangan sampah seperti botol-botol plastik dihantar untuk dikitar semula.

Menurutnya, dia juga mempunyai seorang anak lelaki berusia 12 tahun yang masih bersekolah di Sekolah Kebangsaan Raja Sakti manakala anak perempuan sulungnya sudah berkahwin serta seorang anak lelaki kedua yang baru tamat Sijil Pelajaran Malaysia.

Orang ramai yang mahu menghulur bantuan boleh boleh salur wang ke akaun Bank Simpanan Nasional 0301041000391866 atau hubungi talian 014-9089413.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!