Fuziah terkejut 'layak' terima BPN
KUANTAN- Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh terkejut apabila beliau layak dan lulus untuk menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN).
Beliau berkata, dia sendiri telah membuat semakan dan mendapati permohonannya 'lulus' sedangkan dia bukan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan tidak pernah membuat sebarang permohonan untuk BPN.
"Saya terpanggil untuk membuat semakan selepas tular berita berkenaan ada ahli parlimen, menteri, isteri mantan perdana menteri serta mantan timbalan menteri telah menerima kelulusan BPN.
"Tidak sangka dan agak terkejut apabila saya sendiri pun lulus untuk menerima bantuan tersebut," katanya melalui satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau yang juga mantan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, perkara itu menimbulkan persoalan bagaimana ia diluluskan dalam sistem sedangkan dia tidak layak menerima BPN.
"Kesilapan ini mungkin turut melibatkan lebih ramai individu yang tidak layak tetapi lulus untuk menerima bantuan ini.
"Memandangkan bayaran akan di buat secara terus, saya khuatir, ramai yang tidak menyemak dan tersalah terima,"katanya.
Beliau berkata, BPN yang diluluskan secara automatik tanpa permohonan terbuka membawa kepada kesilapan sistem yang serius.
"Sumber negara perlu digunakan sebaik mungkin dalam keadaan kita memerangi penularan wabak koronavirus (Covid-19 ) dan kesilapan begini tidak sepatutnya berlaku," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!