Tiada bazar Ramadan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) memutuskan tiada penganjuran bazar Ramadan bagi kawasan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan pada tahun ini.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, tiga kaedah baharu iaitu pandu lalu, bungkus dan ambil (pack & pick) serta e-panggilan akan diguna pakai menggantikan penganjuran bazar Ramadan.
Menurutnya, bayaran fi lesen, cagaran dan caj perkhidmatan ke atas penjaja yang telah diluluskan permohonan bazar Ramadan di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Perbadanan Labuan (PL) akan dipulangkan.
"Terdapat 66 lokasi bazar Ramadan melibatkan 2,673 penjaja di Kuala Lumpur, 300 penjaja di satu lokasi di Putrajaya dan 215 penjaja di tiga lokasi di Labuan terlibat dengan pembatalan itu.
"Sama ada PKP ditamatkan atau disambung, KWP berpandangan amalan penjarakan sosial dan garis panduan KKM mesti diteruskan bagi memutuskan rantaian koronavirus (Covid-19) demi keselamatan rakyat Wilayah Persekutuan," katanya pada Facebook Live KWP hari ini.
Beliau berkata, perniagaan dalam talian dibuka sebagai alternatif kepada peniaga menggantikan bazar Ramadan.
"Bagi kaedah pandu lalu beberapa tapak akan sediakan dan peniaga disusun mengikut segmen dengan makanan siap dibungkus. Antara cadangan lokasi sesuai dilaksanakan setakat ini di Boulevard Presint 2 Putrajaya dan Stadium Nasional Bukit Jalil.
"Konsep ini sedang diperincikan dan jumlah peniaga yang boleh menyertai kaedah ini akan ditentukan oleh pihak berkuasa tempatan," katanya.
Annuar berkata, bagi kaedah bungkus dan ambil, tempahan awal boleh dilakukan menggunakan platform dalam talian terus kepada peniaga.
"DBKL, PPj dan PL akan sediakan saluran pendaftaran kepada peniaga dan perniagaan mereka. Dalam konteks ini orang awam hanya perlu buat tempahan dan bayaran secara dalam talian atau e-tunai.
"Bagi konsep e-panggilan pula, peniaga akan didaftarkan dengan syarikat penyedia perkhidmatan itu termasuk Food Panda, Grab Food dan sebagainya dengan jangkaan lebih 20,000 petugas akan terlibat," katanya.
Katanya, pendaftaran dengan konsep perniagaan baharu itu mula dibuka pada 13 April hingga 19 April di lokasi terpilih.
"Kami cuba jadikannya lebih fleksibel dan jumlah peserta akan diperincikan selepas mendapat saranan serta nasihat daripada KKM.
"Jika lihat konsep itu, jumlah peniaga tidak menjadi masalah kerana tidak melanggar penjarakkan sosial disebabkan bentuk perniagaan dalam talian namun akan dimaklumkan kemudian," katanya.
Sebagai galakan katanya, satu bentuk insentif akan diumumkan sebagai menggalakkan pendaftaran peniaga.
Terdahulu, isu bazar Ramadan di ibu negara hangat diperkatakan susulan belum ada kata putus berhubung penganjurannya.
Ia selepas beberapa negeri membuat keputusan pembatalan bazar Ramadan termasuk Negeri Sembilan, Melaka, Terengganu dan Kedah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!