Pemandu e-hailing berdepan denda RM400,000 hina Agong
KUALA LUMPUR – Seorang pemandu e-hailing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lapan pertuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerusi aplikasi Twitter pada dua minggu lalu.
Sufazrin Amin Ismail, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.
Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh membuat penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya menggunakan nama Fazrin Ismail atau @Fazr_Ismail dengan niat untuk menganiayai orang lain.
Kesalahan itu dilakukan pada 23 hingga 25 Mac antara jam 9.58 pagi hingga 10.29 malam yang mana pautan itu dibaca pada jam 7 malam 28 Mac lalu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman di sini.
Bagi setiap pertuduhan, Sufazrin didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama dan boleh dihukum denda maksimum RM 50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan jika sabit kesalahan.
Pertuduhan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Shahrizzat Amadan dan beliau mencadangkan kadar jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan diberi kepada tertuduh.
Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon agar kadar itu dikurangkan dengan alasan dia perlu menanggung keluarga.
Mahkamah membenarkan Sufazrin diikat jamin berjumlah RM8,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan tidak boleh memuat naik posting lain sementara menunggu sebutan kes yang akan dijalankan pada 12 Mei depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!