Suhaimi Sulaiman dilantik Pengerusi baharu Bernama
KUALA LUMPUR – Personaliti penyiaran dan pakar strategi media tanah air, Suhaimi Sulaiman telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang baharu bagi tempoh satu tahun berkuat kuasa 1 Februari lepas.
Sementara itu, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Azmi Ariffin dilantik semula sebagai Yang Dipertua Majlis Penyeliaan Bernama, juga bagi tempoh satu tahun berkuat kuasa pada tarikh yang sama.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah ketika mengumumkan perkara ini dalam satu kenyataan hari ini berkata, Suhaimi menggantikan tokoh media, Datuk Seri Azman Ujang.
“Kementerian mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Seri Azman atas perkhidmatan beliau sebagai Pengerusi Bernama sejak tahun 2016,” katanya.
Menteri itu turut mengumumkan pelantikan barisan 12 Anggota Lembaga Pengelola Bernama dan empat Anggota Majlis Penyeliaan Bernama, yang berkuat kuasa bagi tempoh perkhidmatan yang sama.
Saifuddin berkata, pelantikan mereka telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berdasarkan peruntukan Akta Bernama 1967 [Akta 780].
Suhaimi, 57, yang berpengalaman dalam bidang penyiaran dan kewartawanan ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pengarang saluran berita TV Astro AWANI.
Beliau adalah pemegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari City University, Bellevue, Washington, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Portland State University, Portland, Oregon, Amerika Syarikat.
“Kementerian berharap Pengerusi Bernama serta barisan Anggota Lembaga Pengelola yang baharu ini berupaya membawa Bernama ke tahap yang lebih tinggi sebagai agensi berita yang berwibawa selaras dengan hasrat serta kepentingan awam,” kata Saifuddin. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!