Tak mahu sebar Covid-19, Alixson berjalan tiga hari ditemani Cico

Alixson Mangundok bersama Cico di Kampung Mangaris 2 Kota Marudu.
Alixson Mangundok bersama Cico di Kampung Mangaris 2 Kota Marudu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Seorang lelaki sanggup berjalan kaki bersama seekor anjing selama tiga hari dari Kota Kinabalu ke Kota Marudu kerana tidak mahu menyebarkan koronavirus (Covid-19) kepada orang lain.

Menurut anak jati dari Kampung Mangaris 2 Kota Marudu, Alixson Mangundok, 34, dia membuat pemeriksaan di Hospital Queen Elizabeth 1 sebaik sahaja tiba dari Lapangan Antarabangsa Kota Kinabalu dari Jepun pada 25 Mac lalu.

Dia kemudian membuat keputusan untuk berjalan kaki pulang ke kampung pada 26 Mac dan sampai di Kota Marudu pada 28 Mac sebelum mengasingkan diri di dalam sebuah rumah di kebun milik bapanya.

"Saya tidak mengalami sebarang simptom, tetapi saya tetap mengambil langkah berjaga-jaga dan memutuskan untuk berjalan kaki dari Kota Kinabalu sehingga ke Kota Marudu.

"Sementara menunggu keputusan saringan, saya khuatir untuk datang dekat dan berjumpa dengan keluarga saya, malah semasa di Kota Kinabalu juga saya khuatir menjangkiti orang lain sekiranya saya menumpang atau menaiki pengangkutan awam ke kampung.

"Walaupun abang saya ada datang menjemput saya di lapangan terbang dengan membawa lori, tetapi saya minta dia untuk membawa beg saya saja dan simpan di kebun," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Alixson berkata, dia ditemani oleh seekor anjing ketika melalui kawasan Luyang dan menamakan haiwan itu sebagai Cico yang dianggap sebagai kiriman Tuhan untuk melindungi dirinya sepanjang perjalanan pulang.

"Saya sudah biasa merantau ke beberapa negara jadi berjalan kaki dari Kota Kinabalu ke Kota Marudu itu bukannya satu perkara besar. Paling saya tidak boleh lupakan apabila saya berjalan kaki melalui perkuburan Cina di kawasan Luyang.

Artikel Berkaitan:

"Mujurlah ada anjing yang saya jumpa di Luyang, Cico yang setia mengikuti saya sehingga ke Kota Marudu. Jika tidak bersama Cico, mungkin orang sekeliling menganggap saya orang jahat berjalan kaki pada waktu malam.

"Sepanjang perjalanan saya dengan Cico ke Kota Marudu, kami berehat dan tidur di mana-mana perhentian bas yang berdekatan," katanya.

Sementara itu, dia mengesahkan sudah membuat pemeriksaan saringan kali yang kedua di Hospital Kota Marudu untuk memastikan dirinya bebas daripada wabak tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!