Tiga lelaki ingkar PKP dituduh di Mahkamah Majistret Bahau

Foto arkib
Foto arkib
A
A
A

JEMPOL - Tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bahau hari ini atas pertuduhan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tertuduh pertama dan kedua, Mohamad Suzi Zuhaimi, 37, dan Muhammad Affyszan Mustaffa, 35, mengaku tidak bersalah manakala tertuduh ketiga, Sharizal Sa'at, 38, mengaku salah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khir Nizam Jemari.

Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama pada 3 April lalu pada jam 3.30 petang di sebuah rumah di Felda Lui Selatan 2, didapati telah bergerak dari satu tempat ke suatu tempat yang lain di kawasan tempat jangkitan bukan bagi maksud di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020 (PPPB).

Oleh itu kesemua tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) PPPB yang boleh dihukum di bawah Peraturan 11 dan dibaca bersama Seksyen 34, Kanun Keseksaan.

Khir Nizam kemudian membenarkan tertuduh pertama dan kedua diikat jamin RM1,500 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Mei depan sebagai tarikh sebutan serahan dokumen dan lantikan peguam.

Sementara itu, Sharizal dijatuhi hukuman penjara lima hari dari tarikh tangkap dan denda RM300.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!