'Kerajaan ingin berikan yang terbaik'

Ismail Sabri Yaakob selepas sidang media di bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
Ismail Sabri Yaakob selepas sidang media di bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA – Kerajaan sentiasa berusaha memberikan tempat dan layanan terbaik kepada semua rakyat yang dikenakan kuarantin wajib dalam tempoh 14 hari itu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata, perkara itu antara keutamaan apabila kerajaan memutuskan untuk melaksanakan perintah tersebut.

Menurutnya, tidak dapat dinafikan ada yang tidak berpuas hati dengan pelaksanaan berkenaan tetapi terpaksa dilakukan bagi memastikan penularan wabak koronavirus (Covid-19) dapat dihapuskan khususnya melibatkan kes import.

“Kerajaan sebenarnya ingin memberikan tempat yang terbaik untuk rakyat kita walaupun kuarantin ini bukan pilihan sebab kalau boleh semua hendak balik ke rumah tetapi kita ada prosedur.

“Kita tidak mahu menambahkan kes import seperti di luar negara, jadi untuk elak dan menyelamatkan negara daripada penularan mendadak, kita meletakkan syarat kuarantin wajib.

“Walaupun mereka terpaksa tinggal di pusat kuarantin tetapi kita cuba berikan keselesaan yang terbaik kepada rakyat kita,” katanya katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Sehubungan itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, rakyat diminta bersabar dan mengambil iktibar dengan situasi yang berlaku di luar negara.

“Kalau kita tengok di luar negara seperti gambar yang tular ada antara mereka yang hanya tidur di atas lantai, terpaksa berhimpit-himpit dan makanan kadang-kala tidak mencukupi.

Artikel Berkaitan:

“Kalau kita bersyukur, kita boleh bandingkan apa yang berlaku di negara kita dengan negara lain yang jauh lebih baik (di negara kita),” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, beliau turut menjelaskan rakyat Malaysia yang terpaksa dikuarantin di dalam dorm di Johor semalam berlaku disebabkan jumlahnya yang terlalu ramai.

Bagaimanapun katanya, dorm itu hanya dijadikan transit dan kesemua mereka telah dipindahkan ke hotel-hotel yang diwartakan sebagai pusat kuarantin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!